KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu mendekatkan diri dengan kitab suci al-Quran, tadabbur atau menghayati makna ayat-ayatnya dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bersempena Nuzul Quran yang disambut esok, Ahmad Zahid berharap umat Islam terus istiqamah menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup serta mewariskan kefahaman dan kecintaan terhadap kitab itu kepada generasi akan datang.

"Bersempena Nuzul al-Quran yang dirai ini, marilah kita mendekatkan diri kepada kitab suci ini, mentadabbur ayat-ayatnya dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian," katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata al-Quran bukan sekadar bacaan tetapi juga adalah petunjuk (hudan), pembeza antara yang hak dan batil (furqan) serta sumber rahmat dan penyembuh (syifa') bagi mereka yang menghayatinya.

"Marilah kita mengambil ibrah daripada peristiwa Nuzul Quran serta menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan panduan dalam kehidupan.

"Dengan ledakan maklumat dan perkembangan dunia yang semakin menginjak pantas, adalah penting untuk kita kembali merujuk kepada kitab al-Quran sebagai asas utama yang bersifat malar segar dan sesuai dirujuk sepanjang zaman," katanya.

Nuzul Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan di Gua Hira, Makkah iaitu tahun ke-41 keputeraan baginda.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata al-Quran menjadi penawar bagi hati dan panduan hidup yang sentiasa memberi keberkatan.

"Marilah kita banyakkan membaca, menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian, agar kita menjadi umat yang lebih dekat dengan Allah S.W.T.

"Semoga kita semua diberkati dengan cahaya petunjuk-Nya dan dilimpahi rahmat serta hidayah," katanya dalam laman X.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata al-Quran adalah mukjizat Nabi Muhammad S.A.W yang masih ada hingga hari ini sebagai sumber petunjuk, rahmat dan kekuatan bagi umat Islam.

"Turunnya di bulan Ramadan bukan sekadar sejarah, tetapi peringatan agar kita terus berpegang teguh pada ajarannya.

"Saya menyeru kita umat Islam agar terus menjadikan al-Quran sebagai panduan menyatukan hati, mengeratkan perpaduan dan memperkukuh ummah. Semoga kita terus mendalami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Salam Nuzul Al-Quran, moga hati kita terus bercahaya dengan ayat-ayatnya," katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga berkata al-Quran harus dijadikan sebagai sumber inspirasi dan petunjuk dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dan bermakna.

"Hari ini kita memperingati peristiwa penting turunnya ayat-ayat suci al-Quran sebagai panduan buat seluruh umat manusia.

"Marilah sama-sama kita mengambil peluang untuk terus mendalami dan menghayati segala ajaran kitab suci ini," katanya dalam laman X.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata al-Quran adalah penenang hati, penyuluh kehidupan serta setiap ayatnya mengalirkan ketenangan dan setiap pengajarannya menjadi panduan menuju kebaikan dan ketulusan.

"Pada malam penuh keberkatan ini, marilah kita menginsafi makna kalam Ilahi, mendekatkan diri dengan keindahan wahyu, serta menghayati ajarannya dalam setiap langkah dan amal kita.

"Semoga hati kita sentiasa terpaut dengan mukjizat teragung ini, menjadi insan yang berpegang teguh pada nilai-nilai petunjuk-Nya," katanya.

-- BERNAMA