HULU SELANGOR: Semasa kebanyakan orang memilih meluangkan cuti umum Nuzul Quran dengan berehat di rumah atau ke pusat beli-belah, sekumpulan pelajar orang kurang upaya (OKU) penglihatan di sini, memilih cara berbeza.

Berbekalkan tongkat dan al-Quran Braille di tangan masing-masing, tujuh pelajar kursus Sijil Asas Tahfiz dan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat di Darul Quran JAKIM di Kuala Kubu Bharu di sini, sudah memasuki pintu utama masjid di situ seawal 9 pagi.

Selain al-Quran Braille, ada antara mereka membawa eBraille al-Quran, iaitu al-Quran Braille elektronik bagi kemudahan golongan itu.

Selepas semuanya mengambil tempat, mereka mula mengalunkan ayat suci al-Quran dengan ditemani tenaga pengajar Darul Quran JAKIM Ahmad Qusairi Mat Zizi yang juga OKU penglihatan.

"Alhamdulillah, lazimnya ini antara aktiviti utama kami bagi menghayati dan memperingati peristiwa Nuzul Quran, iaitu turunnya wahyu pertama al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril," kata Ahmad Qusairi kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengakui sebagai bekas pelajar Darul Quran JAKIM dan kini bergelar tenaga pengajar, dirinya gembira melihat semangat serta kesungguhan mereka senasibnya untuk belajar membaca serta menghayati al-Quran.

"Kami tidak pernah menjadikan kekurangan sebagai halangan, malah dijadikan sumber kekuatan kerana kita tahu al-Quran akan menjadi bekalan kepada kita di akhirat," katanya yang turut menerbitkan bahan dan soalan dalam bentuk Braille bagi pelajar di situ.

Berkongsi mengenai kaedah pembelajaran al-Quran kepada individu OKU penglihatan, Ahmad Qusairi berkata pada peringkat awal, pelajar diajar dengan kod Braille al-Quran yang membentuk huruf hijaiyah, tanda dan baris bacaan serta kalimah ayat al-Quran.

Beliau berkata sekiranya golongan OKU penglihatan boleh membaca al-Quran, maka tiada alasan untuk umat Islam celik penglihatan tidak berbuat demikian.

Darul Quran JAKIM berfungsi melaksanakan pendidikan tahfiz al-Quran, pusat rujukan pengajian tahfiz al-Quran dan Qiraat di Malaysia, melaksanakan latihan dan kompetensi pensyarah bidang tahfiz al-Quran selain melaksanakan kajian dan penyelidikan bidang pengajian tahfiz al-Quran.

Peristiwa penurunan al-Quran atau lebih dikenali sebagai Nuzul Quran berlaku pada 17 Ramadan ketika Nabi Muhammad sedang beribadat di Gua Hira.

Di Malaysia, peristiwa Nuzul Quran diperingati setiap 17 Ramadan dan beberapa negeri menjadikannya sebagai cuti umum untuk memberi peluang kepada umat Islam memperingati dan menghayati makna penurunan al-Quran.

-- BERNAMA