NIBONG TEBAL: Perlawanan persahabatan bola sepak yang dicadang antara pasukan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Taman Pektra, Simpang Ampat, di sini, hari ini (Ahad) terpaksa dibatalkan.

Mengumumkan perkara itu, Akmal Nasrullah berkata, pembatalan perlawanan itu berikutan tiada kata akhir yang diterima daripada pihak Muhammad Sanusi.

Bagaimanapun, pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata pihaknya akan meneruskan perlawanan terbabit dengan bermain menentang pasukan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin bersama anak muda kawasan itu.

"Ada yang tanya jadi tak game (perlawanan) bola yang dirancang bermain di Taman Pektra. Saya nak cakap sebelum pukul 3 petang (Sabtu) tadi tak jadi sebab belah sana 'ding dong, ding dong' (tiada jawapan).

"Poster dia (Muhammad Sanusi) kata main bola cuma sekarang ada dua masalah pertamanya kita tahu perangai dia suka dok kalih, dok ubah syarat dan sebagainya. Sebelum ini dia letakkan syarat, kita kata (syarat) tu tak terpakai sebab dia tak boleh sekat anak muda nak main bersama, kita tak setuju.

"Kemudian dia tarik balik (syarat). Bayangkan takut esok, saya takut perangai PN (Perikatan Nasional) ni dia suka kalih, silap-silap dia nak main 15 orang. Silap-silap tiang gol pun dia kalih. Itu kerja mereka," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat, di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR merangkap Pengarah Pilihan Raya Perpaduan, Rafizi Ramli; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer

Sebelum ini, Akmal Nasrullah membuat pelawaan berkenaan kepada Muhammad Sanusi pada Ceramah Perpaduan Ahad lepas, di samping menjemput
beliau untuk berbincang tentang isu air di kawasan Sungai Bakap.

Muhammad Sanusi kemudiannya menyahut cabaran itu dalam hantaran menerusi Facebook dan meminta Akmal Nasrullah untuk hadir dengan perbelanjaan sendiri bagi menyertai perlawanan tersebut sempena kempen PRK DUN Sungai Bakap tanpa menggunakan perbelanjaan kementerian.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas, Nibong Tebal Abidin Ismail dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas, akibat keradangan dalam perut. - BERNAMA