Perkara ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dalam satu sidang media yang berlangsung di perkarangan kondominium mewah itu selepas operasi pencarian tamat sekitar jam 2.15 pagi tadi.
"Anggaran jumlah wang barang kemas, jam tangan yang dirampas tidak dapat kami diberikan buat ketika ini," kata Amar Singh.
Katanya, bagasi yang dirampas turut mengandungi mata wang asing dalam pelbagai denominasi. Namun, jumlah mata wang asing itu tidak dapat didedahkan kerana perincian berhubung nilai mata wang yang dirampas itu hanya akan dilakukan pada hari yang berlainan.
Beliau turut berkata bahawa pihak polis telah menjalankan penyiasatan di keenam-enam tempat tersebut secara serentak dan menegaskan bahawa ia merupakan suatu pemeriksaan dan bukannya serbuan.
Antara lokasi-lokasi terbabit termasuk di Pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi bekas Perdana Menteri dan empat buah kediaman miliknya.
BACA: TERKINI! Kondominium mewah digeledah lagi - Polis
"Ini adalah pemeriksaan bukan serbuan," tegas Amar Singh.
Beliau turut berkata rampasan dibuat untuk membantu siasatan kes berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .
"Kami sedang membuat siasatan tentang kes 1MDB," katanya.
Sidang media itu berlangsung selepas operasi pencarian yang bermula sekitar jam 10 malam tadi.
Apabila ditanya siapa pemilik unit kondominium mewah itu, Amar Singh menegaskan ia milik seorang 'Tan Sri' tanpa mendedahkan nama sebenar individu itu.
Amar Singh turut menyeru agar pihak-pihak tertentu tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang berkait rapat dengan isu 1MDB itu.