Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya berkata, keterangan dengar cakap itu membabitkan ‘arahan’ daripada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).
Muhammad Shafee menghujahkan, saksi pendakwaan mendakwa Azlin dan Jho Low bertindak bagi pihak bekas perdana menteri itu, tetapi keterangan mereka tidak dapat disahkan kerana Azlin sudah meninggal dunia manakal Jho Low tidak diketahui keberadaannya.
Peguam itu merujuk kepada keterangan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang menyatakan beberapa kali beliau meragui sama ada arahan diberikan sememangnya dalam pengetahuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Bagaimanapun, Amhari dalam keterangannya berkata, Azlin kemudian akan mengesahkan bahawa Najib memberi kuasa kepada Jho Low untuk bertindak dan menyelaraskan urusan membabitkan 1MDB.
Muhammad Shafee berkata, keterangan dengar cakap itu juga dilihat melalui saksi pendakwaan lain seperti bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman.
Katanya, saksi terbabit dan saksi pendakwaan lain menyatakan mereka mempunyai urusan dengan Jho Low yang didakwa bergantung kepada kuasa Najib untuk melaksanakan transaksi pemindahan wang 1MDB.
Menurut Muhammad Shafee, mahkamah perlu mengeluarkan daripada rekod perbicaraan, semua keterangan saksi pendakwaan yang menyatakan sesuatu perkara itu kononnya datang daripada Azlin atau Jho Low kerana ia ‘keterangan dengar cakap’ yang teruk dan memprejudiskan anak guamnya.
Beliau berkata, banyak kenyataan didakwa dibuat oleh Azlin, yang diulangi saksi bahawa Najib adalah pembuat keputusan bagi urus niaga berkaitan 1MDB.
Jelasnya, pada permulaan perbicaraan kes itu, banyak kenyataan didakwa dibuat oleh Azlin, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Najib daripada 6 Februari 2014 sehingga beliau meninggal dunia pada 4 April 2015, dikemukakan di Mahkamah Tinggi.
Katanya, pada dasarnya, kenyataan saksi itu menandakan bahawa keputusan yang dibuat sememangnya diarahkan oleh Najib dan disampaikan melalui Azlin.
“Tanpa Datuk Azlin di sini untuk memberi keterangan dan disoal balas, tidak diketahui sama ada jika Najib benar-benar memberi arahan sedemikian
“Begitu juga jika ia adalah rekaan semata-mata oleh Datuk Azlin, yang mungkin bersekongkol dengan Jho Low, atau jika ia adalah fantasi yang diada-adakan oleh saksi untuk melindungi diri mereka sendiri.
"Maka dengan itu, keterangan saksi (pendakwaan) ini adalah khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima serta perlu dikeluarkan daripada rekod perbicaraan," katanya.
Muhammad Shafee berkata, kenyataan itu juga tidak terbukti secara rutin diterima oleh saksi dan sebenarnya apa yang diceritakan (oleh saksi) semuanya adalah transaksi khusus dan luar biasa.
Beliau berkata, selain itu saksi pendakwaan mendakwa mereka "diperdayakan," di mana setiap pegawai kanan 1MDB hanya mengetahui maklumat berkaitan dengan tugasan khusus tanpa dimaklumkan mengenai tujuan akhir tugasan yang diberikan kepada mereka.
Katanya, ia bermakna setiap pegawai bekerja secara berasingan, dan tidak menyedari apa yang dilakukan oleh orang lain.
"Oleh itu, untuk menegaskan bahawa terdapat hubungan rapat antara pegawai termasuk Datuk Azlin, di mana mereka membincangkan perkara dalam urusan biasa, sekali gus bercanggah dengan teori pendakwaan sendiri bahawa mereka bekerja secara sendiri.