Membela diri sebagai saksi pertama pembelaan, Najib membuat kenyataan berkenaan sebagai merujuk bukti yang dipohon dari Mahkamah Eastern District New York melalui permohonan sepina terhadap Pengarah Urusan Goldman Sachs, Tim Leissner.
Leissner menjadi menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah subahat membabitkan bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng, yang juga bekas rakan kongsinya, di Mahkamah Persekutuan Brooklyn.
Melalui sepina itu, Najib memohon mendapatkan keterangan dan penzahiran dokumen berkaitan pembelaannya.
Sepina terbabit memerlukan Leissner menyediakan dokumen yang membuktikan sebarang komunikasi antara beliau (Leissner), ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) atau individu lain yang terbabit dalam skim 1MDB.
Selain itu, Najib juga memohon mendapatkan rekod mengenai sebarang usaha Leissner untuk mengesahkan sama ada (Najib) membenarkan Jho Low atau orang lain bertindak bagi pihaknya.
Najib yang menjawab soalan peguam belanya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, berkata beliau tidak akan meminta dokumen dari luar negara terbabit jika bukti menunjukkan beliau bersalah.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.