KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menegaskan bahawa barang kemas, beg tangan dan aksesori mewah lain yang berada dalam milikannya bukan dibeli dengan wang hasil aktiviti haram.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menjawab pernyataan tuntutan saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya, berkata  Mahkamah Tinggi pada 14 November 2022, menyatakan dengan jelas barangan berkenaan bukan hasil daripada penggunaan wang haram atau apa-apa pecah amanah.

Mahkamah itu sebelum ini menolak permohonan Kerajaan untuk melucut harta bernilai kira-kira RM80 juta didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan barang disita adalah hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Harta itu membabitkan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan yang disita dari sebuah unit di Pavilion Residence di sini, milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 17 Mei 2018.

Jam tangan itu turut dituntut oleh Najib, manakala Rosmah menuntut barang kemas dan beg tangan berkenaan.

Rosmah yang memfailkan pernyataan pembelaannya pada 4 Julai lalu, berkata, 1MDB dan lima anak syarikat serta empat yang lain selaku plaintif sama sekali gagal untuk memperincikan apakah kononnya barangan yang diterima atau dibeli olehnya.

Rosmah, 72, turut berkata ini jelas menunjukkan tindakan plaintif adalah pra- matang, remeh dan hanya bertujuan untuk memberi tekanan kepadanya, selain mendakwa ia bersifat mala fide (berniat jahat).

“Plaintif terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi (pada 14 November 2022), malah jika diteliti, plaintif iaitu entiti milik penuh kerajaan pada ketika itu bertindak melalui Jabatan Peguam Negara untuk melucutkan hak barangan didalam milikan saya.

“Namun begitu, Jabatan Peguam Negara sendiri  bertindak untuk mengembalikan sebahagian daripada barangan kemas milik saya atas dasar ia tiada kena mengena dengan plaintif, oleh itu plaintif dihalang daripada menyatakan sebaliknya.

“Malah, pada 22 Ogos 2019, notis telah disiarkan dalam warta Kerajaan Persekutuan memanggil pihak ketiga yang berkepentingan ke atas harta yang disita supaya hadir di mahkamah untuk menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucuthak. Plaintif gagal menghadirkan diri untuk mengemukakan bantahan,” katanya.

Rosmah turut menafikan bahawa Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu, adalah ejen atau proksinya.

Menurut Rosmah, keseluruhan tindakan plaintif dihalang oleh prinsip undang-undang ‘res judicata’, yang menghalang pihak sama daripada mengemukakan semula isu yang sudah diputuskan mahkamah terdahulu.

Kesemua plaintif dalam kes saman terbabit ialah 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd.

Plaintif lain adalah syarikat pesisir luar iaitu Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Plaintif mendakwa bahawa barangan mewah berkenaan, iaitu antara lain ribuan item jenama barang kemas, jam tangan dan beg tangan, telah dibeli oleh atau untuk Rosmah, bukan dengan wang sendiri tetapi dengan dana yang diselewengkan daripada anak syarikat 1MDB.

Menurut plaintif, dana itu disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone dan Brightstone sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza daripada 14 bidang kuasa bagi pembelian barangan mewah berkenaan iaitu sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489, 

Blackrock dan Blackstone adalah syarikat dikaitkan dengan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Eric Tan.