KUALA LUMPUR: Anggota penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan turun padang dan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas syarikat peraih buah sawit bermula awal 2025 dalam memastikan ketepatan timbangan demi melindungi kepentingan pekebun kecil.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ini juga sejajar dengan usaha menangani isu berkaitan aduan pekebun kecil mengenai wujudnya perbuatan memanipulasi timbangan.

Beliau berkata setiap timbangan perlu jelas, disertakan resit yang lengkap dengan maklumat jumlah berat, tan dan kadar hasil minyak (OER) sebenar, sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

"Mulai 2025 ini, saya sudah beritahu MPOB bahawa kita akan mensyaratkan pembeli-pembeli sawit atau 'dealer' (peniaga) ini betulkan penimbang masing-masing. Jangan ada lagi aduan pekebun kecil mengatakan alat penimbang tak betul.

"Saya terima banyak maklum balas daripada pekebun kecil yang mengadu isu timbangan (buah sawit) ini. Lesen yang dikeluarkan kepada 'dealer' adalah untuk memudahkan industri dan mesti dipatuhi. Jika prosedur itu dilanggar, lesen mereka tidak akan diperbaharui," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) ke-26 di sini, hari ini.pada Sabtu.

Mengulas selanjutnya, Johari berkata selaras peraturan baharu itu juga, peniaga yang membeli sawit perlu memastikan alat penimbang digunakan adalah tepat, sekali gus dapat mengelak risiko penipuan.

"Kena serah (resit itu) kepada pekebun kecil untuk disimpan. Saya dapat banyak maklum balas mereka mengadu kata 'dealer' ini tak timbang, salah timbang dan sebagainya," katanya.

Menyentuh prestasi komoditi minyak sawit Malaysia, Johari berkata tumpuan harus diberikan kepada aspek kelestarian sambil meningkatkan hasil pengeluaran.

Menurutnya, sebagai pengeksport kedua terbesar minyak sawit, Malaysia perlu berusaha untuk kekal berdaya saing dengan meningkatkan pengeluaran.

"Sama ada minyak sawit, getah, kacang soya, bunga matahari, gandum, atau koko (semuanya) ditentukan oleh aspek penawaran dan permintaan.

"Apabila penawaran melebihi permintaan, harga akan jatuh dan permintaan mengatasi penawaran (akan menyebabkan) harga meningkat," katanya.

Menjawab impak dasar atau pendirian Presiden dipilih Donald Trump 2.0 ke atas sektor sawit, beliau berkata KPK akan meneliti dahulu pelan tindakan rasmi yang akan dilaksanakan oleh pemimpin Amerika Syarikat itu selepas pelantikan rasminya pada bulan depan.

-- BERNAMA