PEKAN: Insiden seorang pelajar tingkatan lima dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat keracunan makanan pada Isnin masih dalam proses siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Ringkasan AI
  • Insiden keracunan makanan yang mengakibatkan kematian seorang pelajar tingkatan lima dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun masih dalam proses siasatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  • Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni menyatakan bahawa KKM sedang menyemak kes tersebut dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Bahagian Kesihatan Awam.
  • Polis melaporkan dua kes kematian yang berlaku di Gombak, yang melibatkan remaja lelaki dan kanak-kanak perempuan, disyaki akibat keracunan makanan yang diambil daripada sebuah sekolah agama, dimana makanan yang disebutkan adalah bihun goreng dan telur.


Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata perkara tersebut masih lagi dalam semakan KKM dan pihak ibu pejabat akan mengeluarkan kenyataan mengenainya nanti.

"Perkara tersebut akan dijawab oleh Bahagian Kesihatan Awam dan pihak ibu pejabat akan mengeluarkan kenyataan tersebut. Buat masa ini, ia masih lagi dalam semakan dan siasatan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Pada Selasa, media melaporkan bahawa polis mengesahkan menerima dua laporan kes kematian melibatkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun yang meninggal dunia disyaki akibat keracunan makanan yang diambil daripada sebuah sekolah agama di Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir dipetik berkata remaja itu telah menjamah makanan yang dibawa balik ibunya selepas menghadiri program keagamaan di sekolah berkenaan Sabtu lepas.

Beliau berkata selepas memakan makanan tersebut, mangsa serta ibu bapanya telah mengalami cirit-birit dan pada 1.30 tengah hari semalam mangsa tidak sedarkan diri, sementara mangsa kedua pula memakan makanan yang dibawa oleh bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut pada Sabtu dan didapati demam, muntah-muntah serta cirit-birit sekitar 10.45 pagi semalam.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Selayang bagi tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurut Noor Ariffin, makanan dalam kedua-dua kes dikenal pasti sebagai bihun goreng dan telur.

-- BERNAMA