Ringkasan AI
- Dewan Makan MRSM Taiping ditutup oleh Jabatan Kesihatan Perak selepas insiden keracunan makanan yang melibatkan pelajar pada 30 dan 31 Ogos, dengan rating premis hanya 70.11%.
- Premis dibenarkan beroperasi semula selepas pemeriksaan pada 2 September menunjukkan peningkatan rating kepada 88.51%, dengan penambahbaikan yang dicadangkan oleh pihak kesihatan.
- Sebanyak 62 kes keracunan makanan dilaporkan, dan sampel makanan serta klinikal diambil untuk analisis lanjut. Tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha yang bertanggungjawab.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, arahan penutupan dibuat selepas pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) pada 30 Ogos mendapati rating premis itu pada waktu tersebut adalah 70.11 peratus.
Menurutnya, pihak PKD LMS telah mengeluarkan arahan penutupan premis berkenaan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan semula pada 2 September mendapati rating adalah 88.51 peratus dan dewan makan itu dibenarkan beroperasi semula dengan penambahbaikan yang dicadangkan.
“Pihak PKD LMS telah merancang untuk melakukan pemeriksaan premis ini secara berkala bagi memastikan pihak pengendali makanan di premis tersebut sentiasa mematuhi prosedur pengendalian makanan yang selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Sivanesan berkata, PKD LMS telah menerima sebanyak 30 notifikasi kes keracunan makanan pada 30 Ogos diikuti 32 kes tambahan pada hari berikutnya dari Klinik Kesihatan Taiping melibatkan pelajar yang tinggal di asrama dalam MRSM Taiping.
Menurutnya, hasil siasatan awal di lapangan mendapati kesemua pelajar tersebut yang berusia di antara 16 hingga 17 tahun mempunyai sejarah makan di Dewan Makan MRSM Taiping tersebut dan mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, pening, loya, demam serta muntah.
Beliau berkata, sebanyak empat sampel klinikal telah diambil dari kalangan kes yang bergejala serta dua sampel makanan dan 13 sampel pengendali telah diambil pada 30 Ogos untuk dihantar untuk analisis ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh.
"Saya amat kesal dengan apa yang berlaku kerana kejadian sama pernah berlaku di lokasi berkenaan pada tahun 2018, malah laporan mengenainya kita telah hantar kepada pihak sekolah serta MARA untuk tindakan lanjut.
“Kita mengambil serius perkara ini dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak pengusaha.
"Kejadian itu tidak sepatutnya diambil lewa oleh mana-mana pihak kerana kita tidak mahu ada anak-anak ini yang menjadi korban pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.
Terdahulu Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki melalui hantaran di Facebook susulan lawatan ke MRSM Taiping pada 5 September 2024, memaklumkan menerima laporan daripada ibu bapa pelajar di institusi tersebut mengenai kes keracunan makanan yang berlaku.