NEW DELHI: Adani Group dari India telah kehilangan projek pembesaran lapangan terbang dan tenaga di Kenya selepas pengasas dan pengerusinya, Gautam Adani serta beberapa eksekutif lain didakwa di Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan rasuah dan penipuan.

Presiden Kenya William Ruto berkata keputusan untuk membatalkan perjanjian itu adalah berdasarkan "maklumat baharu yang diberikan oleh agensi penyiasatan kami dan negara rakan kongsi."

Bulan lepas, Adani Energy Solutions dan Kenya Electricity Transmission Company (Ketraco) telah menandatangani perjanjian untuk membina dan mengurus talian penghantaran kuasa elektrik di seluruh negara Afrika Timur dalam projek yang dianggarkan bernilai 95.68 bilion shilling Kenya (US$736 juta).

Adani Group yang berpangkalan di negeri Gujarat, India juga sedang dalam proses menandatangani kontrak untuk membina landasan kedua di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta (JKIA) di Nairobi dan memodenkan terminal penumpang sebagai pertukaran untuk syarikat India yang mengendalikan lapangan terbang itu selama 30 tahun.

"Saya telah mengarahkan agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Tenaga dan Petroleum untuk membatalkan serta-merta proses perolehan yang sedang berjalan untuk transaksi perkongsian awam-swasta pembesaran JKIA serta kontrak perkongsian awam-swasta talian penghantaran Ketraco yang baru dimuktamadkan," kata Ruto dalam ucapan keadaan negara.

Beliau berkata oleh kerana projek-projek itu penting Kenya akan "segera memulakan proses untuk melibatkan rakan kongsi alternatif."

Pihak pendakwaan di New York mendakwa lebih US$250 juta rasuah telah dijanjikan kepada pegawai kerajaan India antara 2020 dan 2024 untuk mendapatkan kontrak tenaga solar, yang diunjurkan menjana keuntungan lebih US$2 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Selain Gautam Adani, 62 tahun, tujuh defendan lain, termasuk anak saudara Adani, Sagar Adani dan bekas ketua eksekutif Adani Green Energy, Vneet Jaain, dinamakan dalam dakwaan itu.

Kumpulan Adani menolak dakwaan itu dan menegaskan bahawa "semua tindakan undang-undang yang mungkin akan diambil."

Saham syarikat Adani Group di India menjunam semasa dagangan pada Khamis, dengan Adani Enterprises Limited, syarikat utama kumpulan itu, merosot 22.6 peratus, manakala Adani Green Energy membatalkan rancangan untuk mengumpul US$600 juta melalui bon dalam denominasi dolar AS.

"Dakwaan yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman AS dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS terhadap pengarah Adani Green adalah tidak berasas dan dinafikan," kata Adani dalam satu kenyataan pada Khamis.

Konglomerat itu telah menyaksikan pertumbuhan pesat sepanjang dekad lalu dan memperoleh aset besar dalam pelbagai sektor. Perniagaannya, termasuk pelabuhan, lapangan terbang, penjanaan dan penghantaran kuasa elektrik, hartanah, media, minyak masak, dan simen.

Adani sebelum ini terpalit dalam beberapa kontroversi, baik di India mahupun luar negara.

Kumpulan itu mengalami kerugian besar di pasaran saham pada Januari tahun lalu selepas firma Hindenburg Research yang berpangkalan di AS menuduhnya memanipulasi pasaran dan melakukan penipuan perakaunan.

Adani pada ketika itu menyifatkan laporan berkenaan sebagai "berniat jahat."

-- BERNAMA