Agensi penarafan itu berkata terdapat risiko harga minyak meningkat termasuk konflik geopolitik yang berterusan melibatkan pembekal minyak utama, prestasi ekonomi China dan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh daripada jangkaan dan penurunan pengeluaran berterusan oleh ahli OPEC+.
Bagaimanapun, sering unjurannya, purata harga minyak pada 2024 dijangkakan berada dalam julat rendah pada US$80 setong.
"Meskipun OPEC+ menurunkan pengeluaran, pertumbuhan yang perlahan dan risiko geopolitik yang mereda menyebabkan harga minyak Brent berada di bawah US$80 setong sejak suku ketiga 2024," katanya dalam satu kenyataan.
Ia berkata dalam jangka masa pendek, harga minyak berpotensi turun naik dengan berlaku lonjakan baru-baru ini, mencerminkan ketidakstabilan yang semakin meningkat di Timur Tengah, melibatkan Selat Hormuz, laluan transit penting untuk kira-kira satu perlima daripada permintaan minyak global.
"Gangguan dalam pengeluaran atau di sepanjang laluan transit boleh mencetuskan lonjakan mendadak dalam harga minyak mentah, berdasarkan anggaran kami, pengurangan 10 peratus dalam bekalan minyak berpotensi memacu harga sehingga 12 peratus," katanya.
Dari segi permintaan, agensi itu melihat pelonggaran berterusan kadar faedah global, khususnya di AS, dijangka menggiatkan semula aktiviti pembuatan dan melemahkan dolar pada 2025.
Namun, ini bergantung kepada pergerakan hasil bon, yang dipengaruhi oleh peralihan dasar AS berkaitan perbelanjaan awam dan permintaan global untuk minyak mentah, walaupun kadar dan skala pemulihan ini akan kekal tidak menentu.
Mengenai prestasi makroekonomi pada 2024, ia lebih lemah daripada jangkaan dan kadar faedah yang tinggi telah mengekang permintaan, dengan pertumbuhan penggunaan global menurun kepada 1.0 peratus (2023: 2.1 peratus; 2022: 2.6 peratus).
China, selaku pengimport terbesar dunia, menyaksikan importnya menyusut sebanyak 3.5 peratus sepanjang 10 bulan pertama 2024 (10M2023: 14.5 peratus).
Mengenai pengeluaran, ia berkata minyak mentah global dan bahan api cecair lain diunjurkan berkembang sebanyak 2.0 peratus pada 2025 (2024: 0.6 peratus; 2023: 1.8 peratus), sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan pengeluaran dari AS, dengan pengeluaran dijangka berkembang sebanyak 2.3 peratus, menurut data daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga.
MARC Ratings berkata pertumbuhan ini sejajar dengan dasar Republikan yang mengutamakan keterjaminan tenaga.
Selain itu, OPEC+ merancang untuk mula mengurangkan pemotongan pengeluarannya pada akhir Disember 2024, meningkatkan bekalan ke pasaran.
Oleh itu, pengeluaran yang tinggi secara berterusan, ditambah pula dengan kebimbangan lebihan bekalan, dijangka memberi tekanan ke bawah pada harga, tanpa mengambil kira sebarang gangguan geopolitik yang ketara.
-- BERNAMA