Perintah reman Majistret Lau Eric di Mahkamah Majistret Putrajaya ke atas seorang pengarah sebuah syarikat swasta untuk membantu siasatan membabitkan akaun syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat membersihkan nama kepimpinan negara daripada kemelut isu berkenaan.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, penahanan individu berkenaan diharap dapat memberi lebih maklumat untuk merungkai pelbagai persoalan rakyat berkaitan 1MDB.

"Kita harap penahanan seseorang berkaitan siasatan petugas khas terhadap 1MDB dapat beri lebih maklumat untuk bersihkan nama kepimpinan negara.

"Selain itu ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan selain harapan agar semua tuduhan dan tohmahan boleh ditangani segera," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Khairul Azwan mengulas penahanan reman seorang pengarah sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan membabitkan akaun syarikat 1MDB.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira jam 1 petang pada Isnin oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

Dalam pada itu, Khairul Azwan berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat agar kes dapat diselesaikan dengan segera.

Menurut sumber, permohonan reman suspek itu dipercayai bagi membantu siasatan mengenai dakwaan menerima rasuah bernilai RM5 juta.

Bernama pada Selasa melaporkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa SPRM memohon perintah tahanan reman selama tujuh hari tetapi majistret hanya membenarkan empat hari.

Peguam itu berkata beliau tidak tahu sebab anak guamnya ditahan tetapi diberitahu bahawa ia adalah "siasatan atas kepentingan negara."

Sebelum ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah meminta semua pihak menghentikan segala dakwaan tidak berasas berkaitan urus niaga 1MDB selepas laporan awal siasatan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendapati tiada bukti sebarang salah laku.

Menurut Ahmad Husni, susulan laporan Ketua Audit Negara itu, dakwaan liar sesetengah pihak termasuk tentang "kehilangan wang sebanyak RM42 bilion dan pemindahan AS$700 juta (RM2.6 bilion) kepada individu tertentu" tidak timbul.