KUALA LUMPUR: Kerajaan dianggap agak berjaya dalam menagani isu bencana alam yang berlaku di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Demikian dapatan daripada Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan hasil usaha firma penyelidikan O2 Malaysia dengan lima media arus perdana.

Kabinet Perpaduan Nasional 2023

Kajian itu mendapati 29 peratus daripada lebih 35,000 responden beranggapan kerajaan menangani dengan baik isu bencana alam.

Bagi isu hubungan antara kaum dan pertumbuhan ekonomi negara pula, seramai 27 peratus responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam menangani kedua-dua isu tersebut.

Dalam pada itu, seramai 26 peratus responden berpendapat kerajaan menangani isu bekalan makanan dengan baik dan 25 peratus berpuas hati dengan cara kerajaan menyelesaikan isu kebajikan dan kesihatan rakyat.

Bagi isu daya tahan ekonomi rakyat yang melibatkan kemiskinan dan kos sara hidup, seramai 21 peratus responden berasakan kerajaan menangani isu tersebut dengan baik.

Kaji selidik tersebut merupakan kerjasama antara firma penyelidikan O2 Malaysia dengan lima media arus perdana iaitu Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban.


Kutipan data untuk kajian telah dijalankan selama 10 hari bermula dari 6 Februari hingga 16 Februari.

Seramai 35,077 respon yang terdiri daripada pembaca dan pelayar agensi media dan berita dari seluruh negara mengambil bahagian dalam kaji selidik itu.

Sebelum ini, kaji selidik mega pernah digerakkan lima media perdana negara bersama firma penyelidikan sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), membawa mesej jelas iaitu mengumpul hasrat dan suara rakyat.