Walaupun sebelum ini pernah mencetuskan beberapa kontroversi dengan buku-buku yang dihasilkannya, penerbit filem Raja Azmi mencuba nasib sekali lagi dengan novel terbaru berjudul, Karkuma.

Sebelum ini, novel beliau iaitu Cinta 200 Ela telah diharamkan Kementerian Dalam Negeri kerana mengandungi unsur seks yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia.

Manakala filemnya ‘Anu Dalam Botol’ turut mencetuskan kontroversi apabila beliau memaparkan kisah lelaki transeksual serta pasangan gay yang menyebabkan tajuk filem berkenaan terpaksa ditukar kepada ‘.... Dalam Botol’.

Beliau yang ditemui di Majlis Perlancaran Novel Karkuma berkata, kontroversi yang berlaku sebelum ini tak pernah dicari, walau bagaimanapun beliau berserah kepada pembaca di luar sana untuk menilai.

Karkuma diterbitkan oleh pihak penerbitan Merpati Jingga merupakan novel ke lima karya Raja Azmi, yang berlatar belakangkan kehidupan kuno pada tahun 417 masihi.

Novel bertemakan kuasa dan dendam ini digarap selama lima tahun sebelum diterbitkan.

Karkuma yang antara lain menceritakan kisah perebutan kuasa makhluk halus dan manusia biasa dilihat lain dari novel biasa di pasaran.

Namun begitu, Raja Azmi mendakwa penulisan beliau mengikut imaginasinya dan tidak timbul isu ‘lain dari pasaran’ kerana sebelum ini beliau pernah menghasilkan novel berlatar belakangkan tahun 2040 iaitu ‘Jendela Putih’.


Salah seorang pembaca novel Karkuma, Ajamiha Hashim menyifatkan novel tersebut umpama cerita 'Lord Of The Rings' versi Malaysia.

Walaupun ada menggunakan bahasa kuno ciptaan Raja Azmi, glosari dibelakang buku banyak membantu pembaca sepertinya.

Penerbit filem Black Widow- Wajah Ayu, Cinta 200 Ela dan “... Dalam Botol” itu turut melahirkan hasrat untuk menerbitkan filem Karkuma serta membawa karyanya itu ke pentas teater.

Raja Azmi mula menulis pada tahun 1993 dengan menghasilkan novel pertamanya iaitu ‘Black Widow’ yang berjaya terjual sebanyak 70, 000 naskhah.

Novel terbaru Raja Azmi ini memaparkan kisah pemuda berhati mulia bernama Karkuma yang mampu bertutur dengan tumbuh tumbuhan yang kemudiannya berkahwin dengan wanita tercantik di Kampung Cendana , Sirehpani sehingga mencetuskan beberapa konflik.