Seorang peguam yang mewakili Yoon berkata, presiden tidak hadir kerana usaha pihak berkuasa untuk menahannya menghalang beliau daripada menyampaikan pendirian dalam perbicaraan.
Sesi perbicaraan seterusnya dijadualkan pada Khamis.
Ketua hakim sementara Moon Hyung-bae berkata, jika Yoon masih tidak hadir, perbicaraan akan diteruskan dengan pasukan peguamnya mewakili beliau.
Di luar mahkamah, salah seorang peguam Yoon, Yoon Kab-keun, menyatakan presiden akan membuat keputusan sama ada hadir pada sesi Khamis selepas berbincang mengenai strategi pembelaan.
Mahkamah Perlembagaan perlu membuat keputusan dalam tempoh 180 hari sama ada untuk menggugurkan Yoon daripada jawatan atau mengembalikan kuasa presidennya.
Yoon juga sedang disiasat atas tuduhan pemberontakan, dengan pihak berkuasa berusaha melaksanakan waran tangkap selepas beliau mengabaikan panggilan untuk hadir memberi keterangan.
Pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon pada 3 Disember, yang ditarik balik selepas enam jam, telah membawa demokrasi Korea Selatan ke dalam keadaan kucar-kacir politik yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Ketua staf presiden, Chung Jin-suk, pada Selasa menyatakan bahawa pejabat Yoon boleh berunding dengan pihak berkuasa penyiasat bagi mengelakkan pertembungan semasa pelaksanaan waran tangkap.
Beliau mencadangkan Yoon boleh ditemu bual di lokasi ketiga atau kunjungan ke kediamannya boleh diatur supaya pihak penyiasat dapat menyoal beliau.
Pihak berkuasa penyiasat, termasuk Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Tinggi (CIO) dan polis, telah menerima waran tangkap baharu selepas percubaan pertama untuk menahan Yoon gagal berikutan kebuntuan dengan pasukan keselamatan presiden awal bulan ini.
Pada Selasa, CIO, polis, dan Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS) mengadakan pertemuan untuk membincangkan pelaksanaan waran tangkap terkini.
Polis dan CIO meminta kerjasama PSS untuk melaksanakan waran dengan aman dan selamat dan kini menunggu maklum balas.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan bahawa pasukan tentera yang bertanggungjawab atas keselamatan presiden tidak akan digunakan dalam pelaksanaan waran terhadap Yoon.