Ringkasan AI
- Amnesty International mengutuk keputusan Israel mengharamkan UNRWA, menyatakan ia sebagai jenayah terhadap bantuan kemanusiaan.
- Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard, menyeru masyarakat antarabangsa mengecam undang-undang Israel ini dan mendesak ia dibatalkan.
- Keputusan ini menambah tekanan kepada Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, dengan keadaan di Gaza dan Tebing Barat dijangka bertambah buruk tanpa campur tangan segera.
Dalam kenyataan terbaharu, agensi itu menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah satu bentuk jenayah terhadap bantuan kemanusiaan.
Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard menyeru masyarakat antarabangsa segera mengecam undang-undang Israel ini dan mendesak rejim zionis itu untuk membatalkannya.
"Undang-undang yang tidak berperikemanusiaan ini adalah serangan langsung terhadap hak pelarian Palestin.
"Ia jelas direka untuk menyukarkan agensi tersebut beroperasi di Wilayah Palestin yang Diduduki dengan memaksa penutupan ibu pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis Timur dan menamatkan visa untuk kakitangannya.
"Ini bersamaan dengan jenayah terhadap bantuan kemanusiaan dan akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah pun teruk," kata Callamard dalam satu kenyataan.
Callamard menambah bahawa larangan ini bercanggah dengan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan Israel untuk memastikan bantuan kemanusiaan mencukupi kepada rakyat Palestin di Gaza.
"Undang-undang yang mengerikan dan tidak berperikemanusiaan ini hanya akan memburukkan penderitaan rakyat Palestin, yang telah mengalami kesusahan yang tidak terbayangkan dan memerlukan sokongan global lebih daripada sebelumnya," katanya.
Keputusan ini juga menambah tekanan kepada Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang telah menyuarakan kebimbangan mereka.
Tanpa campur tangan segera, keadaan di Gaza dan Tebing Barat dijangka bertambah buruk, dengan kesan mendalam terhadap keamanan dan kestabilan serantau.