LONDON: Badan bukan kerajaan (NGO) Amnesty International menyeru Kesatuan Eropah (EU) untuk menghentikan genosid di Gaza.

Menerusi satu hantaran di X, organisasi hak asasi manusia yang berpangkalan di London itu memaklumkan seruan berkenaan disampaikan dalam 24 bahasa negara-negara anggota EU di ibu pejabat Suruhanjaya Eropah, Brussels.

Seruan ini dibuat menjelang mesyuarat pemimpin blok itu.

Dalam laporan tegas yang diterbitkan awal bulan ini, Amnesty menyimpulkan bahawa perang dahsyat Israel di Gaza memenuhi takrif undang-undang bagi jenayah genosid.

Organisasi hak asasi itu menyeru pemimpin EU yang bermesyuarat pada Khamis agar menghentikan semua pemindahan senjata kepada Israel serta melarang perdagangan dengan penempatan haram Israel.

Antara lain, badan itu turut menggesa agar keadilan dan pertanggungjawaban atas jenayah Israel dilaksanakan.