Lula, 78, berkongsi foto dirinya dalam satu mesyuarat bersama Menteri Perhubungan Institusi, Alexandre Padilha dan Penasihat Dasar Luar, Celso Amorim melalui akaun X miliknya pada Isnin.
"Kami berbincang mengenai agenda politik nasional dan antarabangsa untuk beberapa hari akan datang," kata Lula.
Padilha berkata, Lula berada dalam keadaan sihat dan pasukan perubatan menjalankan semua pemeriksaan susulan.
Lula membatalkan perjalanannya ke Kazan, Rusia bagi menghadiri sidang kemuncak BRICS selepas kecederaan akibat kemalangan yang dilaporkan berlaku di kediamannya.
"Saya ingin memberi jaminan bahawa perjalanan itu dibatalkan atas nasihat perubatan dan beliau perlu mengelakkan perjalanan jauh, yang akan melibatkan kerja dalam zon waktu yang berbeza," kata menteri itu.
Pada 19 Okt, Lula dilaporkan terjatuh dalam bilik air di Palacio da Alvorada, kediaman rasmi Presiden hingga mengakibatkan kecederaan di kepala.
Lula turut mengalami kecederaan di bahagian leher yang memerlukan jahitan, menurut media tempatan.
Presiden Brazil itu akan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak BRICS melalui sidang video.
Menteri Luar, Mauro Vieira akan mengetuai delegasi rasmi. - BERNAMA