BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan telah menyatakan hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS telah disampaikan kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, dan negara akan melalui proses yang diperlukan untuk menyertai organisasi tersebut.
  • Anwar menyatakan bahawa sejak dua bulan lalu, Kementerian Luar telah diminta untuk membuat kajian mengenai penyertaan Malaysia dalam BRICS, yang merupakan keputusan dasar negara.
  • BRICS, ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama ekonomi pesat membangun, terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan; pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi ahli baharu.


Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia akan melalui proses-proses untuk memungkinkan negara menyertai organisasi antara kerajaan itu.

"BRICS, sejak dua bulan lalu, ia telah diangkat supaya Kementerian Luar buat kajian yang keputusan dasar kita untuk menyertai BRICS. Kita akan melalui proses untuk memungkinkan kita untuk menyertai BRICS.

"Saya sendiri telah bercakap dengan Presiden Brazil tentang hasrat yang sedemikian," kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri kenduri sempena Raya Aidiladha kenalan lama beliau Hamzah Mat Isa di Mengkuang Semarak dekat sini, hari ini.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.

Pada Januari 2024 pula, negara Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.

-- BERNAMA