Pemimpin Brazil berusia 78 tahun itu dijadualkan berlepas pada Ahad untuk menyertai Sidang Kemuncak COP16 yang dianjurkan oleh Presiden Colombia, Gustavo Petro.
Bagaimanapun, Lula dinasihatkan supaya mengelakkan perjalanan jauh selepas mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh di bilik mandi pada 19 Okt.
Lula menjalani pemeriksaan perubatan lanjut di Hospital Sirio-Libanes di Brasilia pada awal Jumaat.
Keputusan daripada pejabat Presiden mengesahkan bahawa kesihatannya kekal stabil.
Namun, beliau akan meneruskan aktivitinya di dalam Brasilia dan dijadualkan menjalani penilaian perubatan lagi dalam tempoh lima hari.
Ini adalah kali kedua Lula tidak dapat hadir ke sidang kemuncak antarabangsa atas sebab perubatan.
Pada 23 Okt, beliau tidak dapat hadir ke sidang kemuncak BRICS di Kazan, Rusia, dan hanya dapat mengambil bahagian secara maya melalui ucapan video.
Sidang Kemuncak COP16 bermula di Colombia pada Isnin, dengan 15,000 peserta dijangka hadir, termasuk 12 ketua negara, 103 menteri, dan lebih 1,000 wartawan antarabangsa, menurut PBB. - BERNAMA