KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, disahkan positif COVID-19 untuk kali pertama pada pagi Isnin.

Dalam satu muat naik di akaun Facebook miliknya, beliau berkata dijangkiti selepas pulang dari satu perjalanan kerja baru-baru ini.

"Walaupun secara amnya saya berasa sihat namun doktor telah menasihatkan untuk menjalani kuarantin diri sehingga tidak menunjukkan gejala.

"Saya juga diberi ubat antiviral, Paxlovid atas faktor umur. Saya telah menerima suntikan penggalak vaksin COVID-19 pada November lalu," katanya.


Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan untuk terus mengambil vaksin, kerana ia dapat mengurangkan risiko penyakit yang teruk.

Memandangkan COVID-19 masih menjadi endemik di Singapura, beliau mengingatkan rakyat agar terus menjaga keselamatan dan kesihatan mereka.