Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah meminta syarikat-syarikat berkenaan membuka reruai di program tersebut, yang bertujuan memberi peluang kepada pengguna atau pengunjung memilih pakej-pakej yang menarik dan mampu milik.
"Kementerian ada fokus sendiri, kita minta lima syarikat telekomunikasi utama membuka ruang pameran. Mereka juga menyediakan pakej khas termasuk harga peranti yang lebih murah, pakej yang menawan, jadi kita menjemput orang ramai untuk dapatkan pakej-pakej Internet yang menarik ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau bilik media program berkenaan, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus serta Editor Eksekutif Bernama, Mohd Haikal Mohd Isa.
Sementara itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, setakat hari ini program itu berjalan lancar dengan semua kemudahan dan keselesaan disediakan kepada pengamal media yang membuat liputan.
"Saya difahamkan hampir 100 petugas media telah berdaftar untuk membuat liputan pada tiga hari program berlangsung.
"Selain itu, berdasarkan maklum balas, saya juga dimaklumkan kaunter yang paling mendapat perhatian adalah pertukaran topi keledar lama ke baharu, dan juga pencetakan semula salinan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang boleh didapati dengan hanya RM10," katanya.
Semalam Bernama melaporkan buat julung kalinya orang ramai boleh mendapatkan salinan keputusan SPM yang hilang atau gantian sijil pada kadar RM10 pada program itu.
Seorang petugas MyStep Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Muhammad Zairil Aiman Yusri berkata, harga asal bagi penggantian sijil peperiksaan itu ialah RM30 dan 'kadar istimewa' itu hanya berlangsung hingga hari terakhir program Ahad ini.
Beliau berkata, mereka yang menduduki SPM pada 1994 ke atas, mereka layak menikmati tawaran ini dengan hadir terus ke kaunter perkhidmatan KPM di program 2TM bagi mendapatkan sijil SPM, dengan hanya mengemukakan kad pengenalan. - BERNAMA