KUALA LUMPUR: Peralihan kepimpinan utama Singapura kepada Perdana Menteri yang tidak datang dari keluarga Lee dijangka tidak menjejaskan kestabilan pentadbiran republik itu.

Penganalisis Hubungan Antarabangsa, Zokhri Idris berkata, Singapura mempunyai sistem peralihan kepimpinan yang sistematik dan konsisten.

“Waima siapa sekalipun yang mewarisi pentadbiran Singapura sama ada dalam kalangan keluarga Lee atau tidak, seperkara yang perlu kita beri kredit kepada kepimpinan di Singapura ialah peralihan pemimpin yang sistematik. Ini sebenarnya menambahkan kestabilan politik di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.


Singapura dijangka kekal stabil meskipun tidak lagi dipimpin keluarga Lee - Pakar

Tambahnya, walaupun landskap politik Singapura sedikit berbeza berbanding dekad yang lalu, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dilihat masih menguasai sokongan majoriti rakyat dan mampu mentadbir dengan selesa.

“Walaupun ada yang menyatakan bahawa pertambahan kerusi pembangkang daripada lapan kepada 10 kerusi ini menunjukkan satu trend yang luar biasa.

“Tetapi apabila PAP masih berjaya mengekalkan undi popular sebanyak 61 peratus menunjukkan bahawa PAP dan sistem pemerintahannya masih diterima rakyat,” ujarnya.

Menyentuh mengenai cabaran luar negeri yang dihadapi oleh Singapura, Zokhri berpandangan, senario geopolitik semasa ini memerlukan Perdana Menteri baharu Singapura untuk menampilkan kepimpinan yang karismatik dan berkesan.

“Ketika ini, ada yang berpandangan kita sedang berdepan dengan Perang Dingin 2.0. Kuasa-kuasa besar telah menampakkan pertelagahan antara satu sama lain.

“Dalam hal ini, kewibawaan pemimpin Singapura itu menjadi penting. Oleh itu, orang yang membuat keputusan itu perlu ada sifat kewajaan dalam diri supaya dia dipertanggungjawabkan,” jelasnya.

Pada Rabu, Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura menggantikan Lee Hsien Loong. Wong sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab mengurus pandemik COVID-19.


Agenda AWANI: Era baharu kepimpinan Singapura


[TERKINI] Lawrence Wong angkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura