Selain itu, peratusan liputan Internet di kawasan berpenduduk direkodkan pada kadar 98.38 peratus setakat 30 Sept, berbanding 97.07 peratus pada 2023.
Pencapaian kementerian yang berjaya memantapkan infrastruktur dan kesalinghubungan yang berkualiti dan selamat, merupakan antara yang dikongsikan sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024, di laman Facebook Kementerian Komunikasi.
Empat aspek fokus pencapaian kementerian ialah meningkatkan penghayatan terhadap semangat kenegaraan, perkhidmatan dan kandungan penyiaran yang lebih berkualiti, menggalakkan penghasilan kandungan negara yang dinamik dan menghargai pengamal media.
Turut dikongsikan ialah 9,104 usahawan berdaftar di e-dagang dalam Program Usahawan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dengan 1,008 buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah diwujudkan setakat ini.
Pakej 5G Rahmah yang menawarkan Internet lebih murah mendapat langganan sebanyak 873,806 yang antara lain melibatkan Pakej Internet Mudah Alih Rahmah, Pakej Jalur Lebar Tetap (home internet) Rahmah, Pakej Perumahan Awam@MyKabel Rahmah dan Pakej Jalur Lebar Tetap (home internet) Allo Technology Rahmah.
Turut dilaksanakan ialah pakej 5G Rahmah yang antara lain melibatkan insentif pascabayar Rahmah Penjawat Awam, Pakej P-Hailing Rahmah, Pakej Rahmah Prabayar Siswa dan Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media.
Bagi ketersambungan digital di kawasan sekolah dan perindustrian pula telah melibatkan 4,323 sekolah dan 45 kawasan perindustrian selain 1,463 projek Points of Presence (PoP) dilaksanakan.
Menyentuh aspek penghargaan kepada pengamal media, penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima 2,000 penyertaan pengamal media dalam dan luar negara.
Selain itu, seramai 228 bekas dan pengamal media menerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA, selain 493 pengamal media sambilan telah mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Sepanjang dua tahun ini, Kementerian Komunikasi juga berjaya menggalakkan penghasilan kandungan kreatif negara yang dinamik, yang dapat dilihat menerusi 1,860 pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2024 dengan peningkatan 17 peratus dari 2022, manakala seramai 98 penggiat industri filem dan 185 penggiat industri seni mendapat manfaat Dana Kandungan Kreatif (DKK).
Turut dimaklumkan, sebanyak 5,085 pekerjaan diwujudkan melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia, selain 4,500 penggiat industri perfileman telah mencarum SKSPS PERKESO.
Berkaitan perkhidmatan dan kandungan penyiaran berkualiti, sebanyak 3.86 juta pengguna direkodkan menggunakan perkhidmatan Sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan maklumat setakat September lepas, selain segmen Biar Betul! mendapat 700,000 tontonan setiap hari.
-- BERNAMA