“Ketibaan dan pelepasan di Jerman akan menjadi jauh lebih mahal secara ketara,” kata Bischof kepada kumpulan media Funke dalam laporan yang diterbitkan pada Selasa.
Bermula Januari, yuran pemeriksaan keselamatan lapangan terbang akan dinaikkan daripada €10 (AS$10.50) kepada €15 bagi setiap penumpang, walaupun cukai penerbangan yang diperkenalkan pada Mei lalu sudah mempengaruhi harga tiket.
Selain itu, kos kawalan trafik udara yang meningkat turut memaksa syarikat penerbangan memindahkan beban kewangan ini kepada pelanggan.
“Margin keuntungan sememangnya rendah. Secara purata, sebuah syarikat penerbangan hanya meraih kenutungan lima hingga 10 euro bagi setiap penumpang,” kata Bischof, yang juga mengetuai syarikat penerbangan Eurowings.
Beliau memaklumkan bahawa perbincangan dengan ahli politik sedang dilakukan untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan kos dalam industri penerbangan.
Bischof menggesa kerajaan baharu Jerman supaya memansuhkan cukai trafik udara tanpa menggantikannya dan menghentikan pendekatan bebas negara terhadap kuota e-kerosin.
Mulai 2025, syarikat penerbangan yang berlepas dari Kesatuan Eropah (EU) diwajibkan menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF) sebanyak dua peratus daripada keperluan bahan api mereka, dengan kadar ini dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2050.
Beliau juga menyeru supaya rancangan untuk menaikkan yuran kawalan keselamatan ditarik balik.
-- BERNAMA