KETENANGAN Khabib Nurmagomedov ketika menangani konflik sebelum meninggalkan pesawat, Frontier Airlines, mendapat pujian ramai.

Bekas juara UFC itu sempat berunding dengan kru kabin penerbangan berkenaan sebelum memilih untuk turun dari pesawat.

Khabib kononnya diarah mengubah tempat duduknya hanya kerana rungutan seorang wanita yang tidak begitu senang dengan kehadiran secara berdekatan.

Disebabkan itu, syarikat penerbangan tersebut dilabel sebagai bersikap perkauman, malah tidak kurang yang berkongsi pengalaman buruk pernah menaiki pesawat syarikat terbabit.

Khabib kemudian tampil menjelaskan situasi berkenaan dengan melabel pramugari tersebut bersikap kasar terhadapnya sambil melahirkan kekeliruannya mengapa dia harus mengubah duduknya tanpa sebarang alasan munasabah.

Situasi itu, bagaimanapun, tidak menghalang jurulatih sukan tempur dari Rusia tersebut untuk meneruskan perjalanannya dengan memilih syarikat penerbangan berbeza -- sejam setengah selepas kejadian terbabit.

Sebentar tadi, Frontier Airlines mengeluarkan satu kenyataan bahawa mereka mengambil maklum kejadian terbabit.