BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah telah meluluskan penyertaan syarikat penerbangan Jerman Lufthansa dalam ITA Airways milik Kerajaan Itali selepas lebih setahun berunding, lapor agensi berita Jerman dpa.

Dengan pakej penyelesaian yang dicadangkan oleh syarikat penerbangan Jerman itu, syarat-syarat untuk perjanjian berkenaan telah dipenuhi, menurut pengumuman suruhanjaya itu di Brussels pada Sabtu.

Sebagai sebahagian daripada konsesi, Lufthansa akan menyerahkan sambungan penerbangan di Itali kepada pesaing seperti EasyJet, Air France-KLM, dan Kumpulan International Airline.

Dengan kelulusan daripada Brussels, kumpulan pengangkutan udara dengan perolehan tertinggi di Eropah itu berjaya melepasi halangan terakhir untuk pelaburannya dalam ITA.

Kedua-duanya, Lufthansa dan Kementerian Kewangan Itali perlu membuat komitmen kepada badan eksekutif EU itu bagi mendapatkan kelulusan akhir.

Ini termasuk memberi peluang kepada pesaing untuk mengendalikan lebih banyak penerbangan jarak dekat dan jauh dari Itali serta memindahkan hak berlepas dan mendarat di lapangan terbang Milan-Linate.

Rancangan berkenaan adalah untuk syarikat penerbangan Jerman itu membeli 41 peratus saham dalam ITA dengan sumbangan modal sebanyak EUR325 juta (US$343 juta), pada peringkat awal.

Dalam beberapa tahun akan datang, pengambilalihan sepenuhnya ke atas syarikat penerbangan itu boleh berlaku, dengan nilai melebihi EUR800 juta.

Italia Trasporto Aereo (ITA) ditubuhkan pada 2020 daripada Alitalia, syarikat penerbangan milik Kerajaan Itali yang menghadapi masalah kewangan. Menurut angka terkini, syarikat itu mempunyai hampir 4,900 staf.

-- BERNAMA