Bekas duta Amerika Syarikat, Martin Indyk dilantik sebagai ketua perunding Palestin – Israel.

Pelantikan Indyk diumumkan Setiausaha Negara John Kerry beberapa jam sebelum rundingan disambung semula secara rasmi di Washington.

Kerry dalam pada itu meminta semua pihak yang terlibat, untuk mempertahankan prinsip kompromi ketika menyentuh isu-isu tertentu.

Pada masa sama, Kerry mengakui mereka bakal berdepan kesukaran.

Sementara itu, ketua perunding Israel, Tzipi Livni berharap rundingan pusingan baru dengan Palestin boleh menamatkan konflik berpanjangan antara dua pihak.

Biarpun wujud beberapa perbezaan pendapat ketara, Livni kekal optimis.

Proses rundingan semula ini direalisasikan hasil usaha diplomasi Kerry.

Rundingan Palestin-Israel tertangguh pada 2010, susulan tiada kesepakatan dalam beberapa isu penting.

Antaranya isu penempatan haram di Tebing Barat, status Baitulmaqdis dan nasib tahanan Palestin di penjara Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, keluarga lebih seratus warga Palestin yang ditahan di penjara Israel, menyambut baik keputusan Israel yang mahu membebaskan tahanan.

Mereka menyifatkan pengumuman itu sebagai penamat kepada penantian mereka selama ini.

Pembebasan tahanan itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat.

Tahanan dijangka dibebaskan secara berperingkat-peringkat bermula bulan depan.