Amerika kekal rakan dagangan utama, pelabur terbesar di Malaysia - Tengku Zafrul
Tengku Zafrul berkata, AS dan Malaysia mempunyai hubungan ekonomi serta perkongsian perdagangan yang terjalin sejak sekian lama.
Bernama
Wed Nov 06 2024
TENGKU ZAFRUL: Hubungan antara rakyat kedua-dua negara menjangkau generasi, merentasi pelbagai bidang seperti pendidikan, serta keluarga dan persahabatan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Calon Republikan Trump, 78, menewaskan calon Demokrat Kamala Harris dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024 yang diadakan pada Selasa.
Tengku Zafrul menerusi hantaran di platform 'X' beliau pada Rabu berkata, AS dan Malaysia mempunyai hubungan ekonomi serta perkongsian perdagangan yang terjalin sejak sekian lama.
"AS secara konsisten menjadi salah satu rakan dagangan utama Malaysia dan antara pelabur terbesar di negara kita. Hubungan antara rakyat kedua-dua negara menjangkau generasi, merentasi pelbagai bidang seperti pendidikan, serta keluarga dan persahabatan.
"Saya berharap -- terutamanya dengan Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 -- untuk dapat bekerjasama dengan rakan sejawatan saya dalam pentadbiran baharu AS bagi mengukuh dan menambahkan lagi manfaat bersama, sama ada secara dua hala atau pelbagai hala," katanya.