Sebaliknya, ketika ini berada pada tahap yang lebih kritikal, sekali gus menuntut Malaysia dan ASEAN untuk mengatur langkah dengan lebih berhati-hati.
"Kita perlu mengakui bahawa apa yang berlaku antara AS dan China bukan perkara baharu. Ia bermula sejak pentadbiran Donald Trump 1.0 dan diteruskan oleh Joe Biden.
"Kini ketegangan berada pada tahap lebih tinggi. Bagi Malaysia dan ASEAN, kita tiada pilihan selain menavigasi situasi ini dengan bijak," katanya ketika menjadi panel pada World Economics Forum (WEF) 2025 bertajuk Demystifying Industrial Policy di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Zafrul menjelaskan, kedudukan Malaysia dan ASEAN sebagai destinasi pelaburan strategik sesungguhnya memberikan kelebihan di tengah-tengah peralihan global.
Menurut beliau, Malaysia dan ASEAN mendapat manfaat daripada perubahan itu, walaupun cabaran ekonomi global terus mendominasi.
"Siapa rakan dagang terbesar Malaysia dan ASEAN? China. Siapa nombor dua? AS. Namun, jika kita lihat dari segi pelaburan, pelabur terbesar di ASEAN adalah AS, manakala yang kedua ialah China.
"Jadi, sebagai dua ekonomi terbesar dunia yang menyumbang hampir 50 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, kita perlu mengatur strategi dengan teliti," jelas Zafrul.
Beliau turut memberitahu, Malaysia berada dalam kedudukan istimewa, khususnya dalam industri semikonduktor yang telah dibangunkan selama lima dekad.
"Malaysia adalah pembekal keenam terbesar semikonduktor di dunia. Kita berada dalam kedudukan 'manis' kerana ekosistem sudah tersedia, termasuk infrastruktur, bakat dan logistik. Insentif kerajaan membantu, tetapi asas kejayaan adalah ekosistem yang telah lama kita bina," tambahnya.
Zafrul berkata, ketidaktentuan ekonomi global boleh menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) jika perdagangan terus menyusut.
"Jika angka perdagangan menurun, pelabur dan syarikat akan mula menangguhkan keputusan mereka. Ini boleh membawa kepada kitaran ganas yang memperlahankan pertumbuhan ekonomi.
"Oleh itu, kita perlu terus bekerja keras untuk memastikan ekonomi Malaysia kekal kompetitif,” katanya lagi.
Malaysia, menurut Zafrul, perlu memanfaatkan kedudukannya sebagai penerima FDI yang positif di ASEAN dan terus menarik pelabur untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negara.