KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini susulan aktiviti belian semasa harga rendah selepas penurunan selama enam hari, berikutan pelabur memburu peluang saham bermodal besar dengan penilaian menarik susulan jualan besar-besaran ekuiti global baru-baru ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.61 mata atau 0.29 peratus kepada 1,615.08 daripada 1,610.47 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka mengukuh 1.90 mata kepada 1,612.37 dan bergerak antara 1,609.70 dan 1,619.05 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen dalam pasaran meluas tidak terlalu memberangsangkan dengan kaunter rugi hanya sedikit melebihi kaunter untung iaitu 497 berbanding 490 manakala 511 kaunter tidak berubah, 982 tidak diniagakan dan 123 digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.48 bilion unit bernilai RM2.26 bilion berbanding 2.45 bilion unit bernilai RM2.21 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata walaupun prestasi pasaran hari ini adalah positif, sentimen kekal berhati-hati berikutan tempoh pelaporan pendapatan suku ketiga yang semakin hampir untuk saham tempatan dan aliran keluar bersih asing yang berterusan.

"Pelabur juga sedang menunggu keputusan suku tahunan daripada firma teknologi utama termasuk Apple, Microsoft, Google, Amazon, dan platform Meta. Sekiranya keputusan ini memenuhi jangkaan pasaran, ia boleh memberikan rangsangan tepat pada masanya kepada sentimen, berpotensi memberikan kestabilan selanjutnya kepada pasaran tempatan," katanya kepada Bernama.

Dari segi petunjuk ekonomi, Mohd Sedek berkata pelabur akan memantau dengan teliti Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Teras Amerika Syarikat (AS), data pekerjaan AS dan Indeks Pengurus Pembelian pembuatan China minggu ini.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI meningkat semula hari ini dalam belian semasa harga rendah, terutama dalam saham tenaga, telekomunikasi, perladangan dan perbankan.

"Indeks serantau utama turut bergerak lebih tinggi, dengan pembelian terutama dalam saham teknologi berikutan petunjuk positif dalam tempoh semalaman daripada Wall Street. Selain itu, terdapat harapan bahawa ketegangan geopolitik di Timur Tengah tidak bertambah buruk," katanya.

Thong berkata walaupun ekuiti Malaysia mengalami tekanan menurun dalam jangka pendek, asas ekonomi yang kukuh, pelaburan langsung asing yang berterusan, petunjuk ekonomi yang bertambah baik dan penilaian yang menarik dijangka menarik minat dalam belian semasa harga rendah pada masa akan datang.

"Walaupun sentimen pasaran telah memperlihatkan sedikit peningkatan, kami berhati-hati dan mengakui jangkaan pelabur yang berbeza-beza. Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran kekal dalam konsolidasi dan bergerak antara 1,610 dan 1,630 untuk tempoh berbaki minggu ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maxis menambah 18 sen kepada RM3.80, CIMB dan YTL Power masing-masing menokok tujuh sen kepada RM8.09 dan RM3.13 manakala Maybank, Sime Darby dan Tenaga Nasional masing-masing meningkat enam sen kepada RM10.46, RM2.45 dan RM14.06.

OB Holdings yang baru disenaraikan meningkat satu sen kepada 25 sen, Capital A naik setengah sen kepada 99 sen, Talam Transform susut setengah sen kepada dua sen dan MyEG berkurangan 1.5 sen kepada 86.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 21.11 mata kepada 12,179.95, Indeks FBMT 100 naik 21.86 mata kepada 11,889.33 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 13.19 mata kepada 12,148.37.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 rendah 12.21 mata kepada 17,633.50 dan Indeks FBM ACE menyusut 8.11 mata kepada 5,032.28.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 33.53 mata kepada 19,158.95, Indeks Perladangan meningkat 25.05 kepada 7,335.34 manakala Indeks Tenaga rendah 1.61 mata kepada 835.96 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.60 mata kepada 174.95.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.34 bilion unit bernilai RM2.0 bilion daripada 1.27 bilion unit bernilai RM1.94 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 668.37 juta unit bernilai RM107.01 juta daripada 683.45 juta unit bernilai RM94.25 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menguncup kepada 447.69 juta unit bernilai RM151.19 juta berbanding 500.44 juta unit bernilai RM183.05 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 232.47 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (222.78 juta), pembinaan (77.03 juta), teknologi (181.69 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (88.49 juta), hartanah (250.1 juta), perladangan (33.01 juta), REIT (15.09 juta), dana tertutup (46,100), tenaga (104.51 juta), penjagaan kesihatan (28.1 juta), telekomunikasi dan media (23.64 juta), pengangkutan dan logistik (18.66 juta), utiliti (68.40 juta), dan amanah perniagaan (53,800).

-- BERNAMA