Ketua Polis Daerah Gowa, AKBK Reoland Simanjutak berkata, pelaku tidak dapat menerima kenyataan selepas melihat ibunya menangis teresak-esak sejurus mendapat khabar mengenai kehamilan mangsa.
Suspek dikenali sebagai Jibril, 22, turut menafikan bahawa dia merupakan bapa kepada bayi yang dikandung wanita terbabit.
Mengulas peristiwa semasa hari kejadian, polis mendedahkan suspek mengajak mangsa bertemu dengannya dengan alasan mahu bersiar-siar selepas pertemuan antara kedua keluarga selesai.
Terdahulu, datuk mangsa, Imran Sijaya berkata, mangsa ada menerima panggilan telefon pada tengah malam selepas pulang dari tempat kerja.
“Dia kemudian meminta izin ibunya untuk keluar ke rumah rakan tanpa memberitahu identiti rakannya itu mahu pun lokasi dituju.
“Selepas itu, cucu saya tidak lagi dapat dihubungi,” jelasnya kepada wartawan.
Mangsa, Putri Indah Sari, 19, ditemui mati terbaring di tepi sawah oleh penduduk setempat yang sedang beriadah sekitar jam 6 pagi waktu tempatan.
Selepas proses bedah siasat di Hospital Bhayangkara Polri, jenazah mangsa dikebumikan keluarganya di tanah perkuburan Desa Maradekaya pada jam 10 malam.
Polis berkata, Jibril didakwa di bawah undang-undang Pasal 340 KUHP yang memperuntukkan hukuman bagi pembunuhan terancang. - Sinar Harian memetik agensi