Memetik laporan Al Jazeera, pejabat Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati, dalam satu kenyataan berkata tempoh berkabung secara rasmi bermula pada Isnin, dengan bendera akan dikibarkan separuh tiang di bangunan awam.
Kenyataan itu menambah, pejabat awam juga akan ditutup pada hari pengebumian Hassan, yang juga Setiausaha Agung Hizbullah.
Bagaimanapun, setakat ini Hizbullah belum mengumumkan hari pengebumian Hassan.
Dalam masa sama, Najib menjelaskan negaranya berada di bawah ancaman selepas pembunuhan Hassan, sambil mengutuk serangan udara pada Jumaat yang telah mengorbankan orang awam Lubnan di kawasan Dahiyeh.
Sementara itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen tempatan, Najib menyeru rakyat Lubnan untuk “bersatu menghadapi pencerobohan” ketika negara itu berada di ambang krisis kemanusiaan dan ekonomi.
Hassan, yang telah memimpin Hizbullah selama lebih tiga dekad menjadi sasaran Israel dalam pertempuran yang sengit dengan kumpulan itu..
Pada Sabtu, Hizbullah mengesahkan Hassan terbunuh dalam serangan udara Israel di Beirut pada Jumaat.
Kumpulan itu memaklumkan Hassan terkorban bersama beberapa pejuang lain.