BERLIN: Kerajaan Jerman menghantar sebuah makmal bergerak ke Republik Demokratik Congo bagi membantu mengenal pasti kes mpox dan mengawal penyebaran penyakit itu, Kementerian Pembangunan Jerman mengumumkan di Berlin pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Terdapat juga rancangan untuk melatih lebih ramai pakar supaya mereka dapat mengenali simptom dan memaklumkan masyarakat mengenai langkah pencegahan, kata kementerian itu. Langkah latihan serupa dianjurkan di timur Congo pada Jun, menurut kementerian berkenaan.

"Pihak berkuasa Afrika meminta bantuan komuniti antarabangsa. Dan bantuan ini kita mesti disediakan," kata Menteri Pembangunan, Svenja Schulze.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan tahap amaran tertinggi disebabkan penularan mpox di Afrika dan varian baharu yang berpotensi lebih berbahaya.

Menurut pakar, varian mpox baharu, clade Ib, kelihatan lebih mudah berjangkit berbanding varian terdahulu dan juga lebih berkemungkinan membawa kepada kes yang teruk.

Pihak berkuasa kesihatan awam Afrika, CDC Africa merekodkan hampir 1,400 kes baharu mpox dalam masa seminggu, dan terdapat hampir 19,000 kes sejak awal tahun.

"Kami mewujudkan dana kecemasan antarabangsa sebagai pengajaran daripada pandemik, yang kini berjumlah US$500 juta," kata Schulze. "Dana ini harus digunakan untuk memerangi mpox."

Beliau berkata dalam jangka panjang, tindak balas yang adil terhadap wabak itu ialah menghasilkan vaksin di Afrika.

-- BERNAMA