AADAYSIT MARJAAYOUN: Tentera Israel mendedahkan satu rakaman serangan di perkampungan Aadaysit Marjaayoun di selatan Lubnan yang didakwa sebagai struktur ketenteraan Hizbullah pada Selasa.

Rakaman itu turut disahkan oleh Reuters berdasarkan bentuk bangunan, susun atur jalan, panel solar dan menara masjid sepadan dengan imej satelit lokasi.

Tentera Israel berkata pihaknya telah mengenal pasti sebuah sel yang beroperasi dalam struktur ketenteraan Hizbullah di kawasan Odaisseh di selatan Lubnan yang mana serangan terhadap struktur dilakukan sekali gus memusnahkan sel tersebut.

Hizbullah melepaskan roket dan dron ke tapak ketenteraan Israel pada Ahad sebagai tindak balas terhadap pembunuhan seorang komander kanan oleh Israel bulan lalu.

Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah mendakwa, serangan besar-besaran itu bertujuan menyasarkan pangkalan perisikan tentera berhampiran Tel Aviv dan menafikan Israel memusnahkan ribuan pelancar roketnya.

Dalam kejadian, jet Israel telah mensasarkan kira-kira 40 tapak pelancaran di Lubnan yang menyaksikan salah satu pertukaran tembakan paling sengit dalam tempoh konflik lebih 10 bulan.