Langkah seterusnya kini adalah untuk Hamas menerimanya sebelum rundingan lanjut dijangka berlangsung akhir minggu ini.
“Kenyataan penting seterusnya adalah untuk Hamas bersetuju dan kemudian, dalam beberapa hari akan datang, semua pakar perunding akan berkumpul untuk bekerja pada pemahaman yang jelas tentang pelaksanaan perjanjian itu,” kata Blinken dalam satu sidang akhbar di Tel Aviv, pada Isnin.
Walaupun Netanyahu dikatakan telah bersetuju dengan cadangan perantaraan tersebut, masih terdapat cabaran besar sebelum perjanjian dapat dicapai.
Bukan sahaja Hamas belum bersetuju dengan cadangan itu, malah perunding masih berusaha untuk memperincikan butiran khusus tentang bagaimana perjanjian itu akan dilaksanakan.
Mereka juga sedang berusaha untuk membentuk “pemahaman yang jelas tentang bagaimana pihak-pihak yang terlibat akan menunaikan komitmen mereka,” kata diplomat tertinggi AS itu.
Menjelang pertemuannya dengan pegawai Israel pada Isnin, Blinken berkata, usaha untuk memuktamadkan gencatan senjata dan perjanjian tebusan di Gaza telah mencapai “penuntu waktu” semasa lawatannya ke Israel sebelum meneruskan perjalanan ke Mesir dan Qatar pada hari Selasa.
“Ini adalah “mungkin peluang terbaik, mungkin yang terakhir, untuk membawa pulang tebusan, mencapai gencatan senjata dan meletakkan semua pihak di landasan yang lebih baik untuk keamanan dan keselamatan yang berpanjangan,” kata Blinken dalam ucapannya bersama Presiden Israel, Isaac Herzog, di sini, sebelum pertemuan antara mereka berlangsung.
“Sudah tiba masanya untuk semua pihak bersetuju, dan tidak mencari alasan untuk menolak,” kata Blinken.
“Sudah tiba masanya untuk menyelesaikannya (peperangan). Sudah tiba masanya juga untuk memastikan tiada sesiapa yang mengambil langkah yang boleh menggagalkan proses ini.”
Pada sidang akhbarnya, Blinken menggariskan kepentingan masa ini dengan menyatakan bahawa "peristiwa campur tangan mungkin membuatkan keadaan lebih sukar, jika tidak mustahil."
"Kami telah mengalaminya sepanjang proses ini, jadi ada keperluan mendesak untuk bertindak sekarang," katanya.
Pengumuman Blinken dan pejabat Perdana Menteri Israel bahawa Israel telah bersetuju dengan cadangan perantaraan dibuat selepas pertemuan selama tiga jam antara diplomat tertinggi AS dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di Jerusalem pada awal Isnin.
Kedua-dua pihak menyifatkan pertemuan itu sebagai konstruktif.
Netanyahu komited untuk menghantar perunding kanan bagi “melengkapkan proses ini” di Qatar atau Mesir, kata Blinken.
Masih tidak jelas apa yang terkandung dalam "cadangan perantaraan" tersebut.
Ia telah dikemukakan oleh AS minggu lalu, dengan sokongan Qatar dan Mesir, selepas dua hari perbincangan penting di Doha.
Para perantara telah meningkatkan usaha mereka ketika Asia Barat bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan Iran ke atas Israel, dan selepas jumlah kematian sejak Oktober di Gaza dilaporkan mencecah 40,000 orang - angka suram yang menunjukkan 10 bulan penderitaan, kekurangan zat makanan, dan keputusasaan di kawasan Palestin itu semasa perang Israel dengan Hamas.
Pada Ahad malam, Hamas dan Netanyahu saling tuduh menuduh menunjukkan bahawa perjanjian masih jauh untuk dicapai.
Hamas memberi bayangan ia telah menolak cadangan tersebut.
Hamas berkata, cadangan terbaharu itu tidak termasuk gencatan senjata tetap dan memperkenalkan syarat-syarat baharu dalam pertukaran tahanan, antara isu-isu lain.
Kumpulan itu menyalahkan Netanyahu kerana "menghalang" perjanjian daripada dicapai dan mengulangi hasratnya untuk melaksanakan cadangan tiga peringkat yang dikemukakan oleh Presiden AS Joe Biden, yang termasuk pembebasan tebusan dari Gaza, "gencatan senjata penuh dan menyeluruh" dan pembebasan tahanan Palestin yang ditahan di Israel.
Ia turut menyeru perantara untuk “memaksa penjajah melaksanakan” pelan itu.
Netanyahu membalas dengan menegaskan, Israel tidak akan "mengalah kepada tuntutan Hamas" untuk menamatkan perang di Gaza sebagai syarat perjanjian.
"Perdana Menteri telah bertegas mengenai tuntutan asas ini, yang penting untuk mencapai matlamat perang, dan Hamas mengubah pendiriannya," kata kenyataan dari pejabatnya pada Ahad.
"Perdana Menteri akan terus bekerja untuk meneruskan perjanjian yang akan memaksimumkan bilangan tebusan yang hidup dan yang akan memungkinkan pencapaian semua objektif perang."
Dalam sidang akhbarnya pada Isnin, Blinken berkata, beliau tidak boleh "membuat spekulasi mengenai niat sebenar Hamas" tetapi menjangka akan mengetahui lebih lanjut dalam perbincangannya dengan pegawai Mesir dan Qatar pada Selasa.
"Kami telah melihat kenyataan awam, tetapi kami telah melihat kenyataan awam sebelum ini yang tidak sepenuhnya mencerminkan pendirian Hamas," katanya.
Isu utama lain dalam rundingan termasuk desakan Israel untuk mengawal sempadan antara Gaza dan Mesir, memiliki kuasa veto ke atas tahanan Palestin yang dibebaskan dan mencegah pergerakan lelaki bersenjata dari selatan Gaza ke utara. - Agensi