Menurut pakar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa itu, keadaan di Gaza jauh berbeza jika dibandingkan dengan perang di Ukraine, Syria mahupun Iraq sebelum ini.
“Israel bukan sahaja memusnahkan rumah rakyat di Gaza tetapi seluruh bandar dan kawasan kejiranan.”
“Selain itu Zionis turut memusnahkan sumber kehidupan seperti ladang pertanian dan sumber air yang penting. Ia menjadikan kehidupan di kawasan itu sukar untuk diteruskan”, kata Rajagopal ketika ditemu bual Astro AWANI di World Urban Forum yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Tambah Rajagopal, kemusnahan berskala besar ini secara jelas membuktikan Israel melakukan tindakan genosid.
“Apabila kita melihat tempat tinggal dimusnahkan secara sistematik dan ditambah pula kenyataan yang dilakukan oleh pimpinan Israel, ia secara jelas mencerminkan niat untuk menghapuskan satu bangsa, sama ada secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya”
“Objektif Israel adalah untuk merampas wilayah dan membentuk Greater Israel”, tegas Rajagopal.
Beliau turut menegaskan, pemusnahan yang berlaku di Gaza bukan hanya satu serangan fizikal terhadap rumah, tetapi juga terhadap struktur sosial, ekonomi, dan kehidupan komuniti itu sendiri.
"Apa yang berlaku di Gaza adalah pelanggaran yang perlu ditangani dengan serius oleh masyarakat antarabangsa," ujar Rajagopal.
Beliau turut berkongsi kebimbangan terhadap nasib lebih 400,000 penduduk Gaza di koridor Netzarim di bahagian utara yang kini terkepung tanpa bekalan makanan dan air yang dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.
“Musim sejuk semakin hampir, mereka memerlukan perlindungan segera. Laporan yang diterima menunjukkan berlaku kelaparan yang sangat serius di utara Gaza.
“Ini adalah keadaan yang kritikal dan kita perlukan gencatan senjata segera serta bantuan kemanusian untuk menyelamatkan mereka,” ujar beliau lagi.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB pada Jumaat mendedahkan, 70 peratus kematian yang dicatatkan akibat perang di Gaza adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang secara jelas mencabul undang-undang antarabangsa.