Bagaimanapun, pengadu yang juga merupakan saksi pendakwaan yang kesembilan menyatakan bahawa dia membalas mesej tersebut bukannya teks lucah seperti yang pendakwah tersebut berikan kepadanya.
"Ya, tapi membalas teks kepada dia dan bukan teks lucah seperti Ebit Lew bagi kepada saya," katanya ketika memberi keterangan dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ram Singh di Mahkamah Tenom, di sini pada Rabu.
Dalam pemeriksaan balas seterusnya, pengadu memberitahu mahkamah bahawa dia telah membaca teks mesej tersebut dan mengaku memberi maklum balas kepada teks tersebut.
"Saya respons tapi bukan membalas teks lucah seperti yang dia tulis," katanya.
Seterusnya, Ram meminta pengadu jelaskan apa yang difikirkannya mengenai perkataan yang digunakan dalam balasan mesejnya pada jam 12.37 tengah malam pada tarikh tersebut.
"Saya balas 'huhu' sebab ayat dia itu terlebih, yang dia membayangkan seolah-olah dia melakukan seks dengan saya," katanya.
Pengadu kemudian berkata, perkataan tersebut bukan sebagai ketawa tetapi menunjukkan rasa meluat kepada teks lucah yang diterimanya.
"Tidak, bunyi 'huhu' bukan yang ketawa. Menyampah kadang," jelasnya merujuk kepada perkataan tersebut.
Pengadu dalam pemeriksaan balas seterusnya tidak mengaku perbualan mesejnya dibuat secara bersahaja atau kasual.
Dalam pemeriksaan balas itu juga, pengadu tidak bersetuju dengan andaian Ram bahawa teks mesej yang dibalasnya menggunakan perkataan 'kita sampai bila' merujuk kepada pengadu sedang menggoda seseorang.
"Tidak, maksud saya sampai bila dia WhatsApp saya macam itu," jelasnya.
Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.
Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani. - Sinar Harian