TENOM: Saksi pendakwaan kesembilan memberitahu mahkamah bahawa teks mesej 'gemuk' dan 'nanti nampak jerawat' kepada Ebit Lew menerusi bukti yang dikemukakan adalah untuk mengelak daripada pendakwah tersebut meminta gambarnya.

Saksi yang merupakan pengadu dalam kes tersebut tidak bersetuju dengan andaian peguam, Datuk Ram Singh bahawa dia seorang yang 'mudah' dalam perbualan mesejnya bersama pendakwah tersebut.

Saksi juga menolak andaian bahawa dia seorang yang mudah berbincang mengenai imej badan dan menjelaskan ia adalah cara untuk mengelak daripada Ebit Lew meminta gambarnya.

"Tidak setuju, saya tulis begitu sebab untuk mengelak dari dia minta gambar," katanya ketika dalam pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.

Bagaimanapun, dalam pemeriksaan balas tersebut, saksi bersetuju dengan Ram bahawa dia ada menghantar gambar wajah dan badannya tanpa paksaan kepada Ebit Lew, namun menjelaskan bahawa dia telah terpengaruh dengan pendakwah tersebut.

"Saya terpengaruh dan terikut permintaan dia," jelasnya kepada mahkamah.

Saksi kemudian dirujuk kepada teks mesej pada jam 3.06 petang bertarikh 5 April 2021 yang dibacakan sebelum ini menerusi bukti yang dikemukakan di mahkamah berhubung petikan 'Buat taubat nasuha awak, sama-sama kita, Insya-Allah saya akan jaga aib ini'.

Saksi dalam jawapannya bersetuju dengan andaian Ram bahawa dia rasa menyesal dan terdapat konflik moral dalam dirinya menerusi teks mesej tersebut.

Sementara itu, pengadu juga tidak bersetuju dengan andaian Ram bahawa mesej asalnya dengan Ebit Lew untuk menyertai Program Keluarga Sunnah telah menyimpang apabila dia menghantar gambar payu daranya kepada pendakwah tersebut.

Dalam pemeriksaan balas seterusnya, saksi tidak bersetuju dengan andaian Ram bahawa laporan polis yang dibuatnya adalah pujukan daripada pihak lain iaitu suaminya, Akhi Fairuz dan juga Firdaus Wong.

Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin dan Zahida Zakaria manakala Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani. -Sinar Harian