Ringkasan AI
- Saksi pendakwaan kes Ebit Lew menolak andaian bahawa dia sedang bercinta dengan Ebit Lew, walaupun terdapat mesej yang menyebut "macam orang bercinta".
- Saksi menjelaskan bahawa mesej tersebut ditulis kerana Ebit Lew memaksa untuk berhubung, bukan kerana mereka bercinta. Saksi juga menyatakan bahawa jika mereka bercinta, dia akan menjawab panggilan dan mesej dengan sukarela.
- Perbicaraan ditangguhkan selepas saksi menyatakan dia kurang sihat. Ebit Lew menghadapi 11 pertuduhan berkaitan hantaran gambar dan perkataan lucah melalui WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021.
Saksi yang juga pengadu dalam kes tersebut berkata demikian ketika dalam pemeriksaan balas yang dikendalikan peguam, Datuk Ram Singh yang mewakili Ebit Lew dalam kes tersebut.
Ram dalam pemeriksaan balasnya bertanya adakah saksi bersetuju dalam mesejnya pada jam 5.49 petang bertarikh 4 April 2021 dengan petikan 'orang bercinta' bermaksud orang sedang bercinta.
"Setuju, tetapi saya tidak bercinta dengan dia. Saya tulis 'huhu' 'dah macam orang bercinta' sebab teks dari Ebit Lew dan memaksa saya untuk sambut panggilan, suruh cakap perlahan-lahan," kata saksi.
Saksi mengaku bahawa dia yang menaip mesej 'macam orang bercinta' namun ia bukan bermaksud bahawa dia sedang bercinta.
"Kalau saya sedang bercinta dengan Ebit Lew, dia tidak perlu WhatsApp saya beratus-ratus (mesej), WhatsApp untuk sambut panggilan, minta gambar, tidak perlu. Saya akan bagi dengan sukarela.
"Kalau saya bercinta dengan Ebit Lew, saya sambut semua panggilan dia," katanya.
Saksi juga ditanya adakah dia bersetuju penggunaan bahasanya dalam mesej tersebut bahawa dia berinteraksi tanpa sebarang paksaan.
"Yang saya cakap macam itu, sebab masa itu Ebit Lew tengah tunggu penerbangan dan paksa hubungi saya dan dia bagitahu dia rindu," katanya.
Saksi turut bersetuju dengan andaian Ram yang mengatakan respons saksi dalam teks mesejnya berkenaan 'take care' adalah pilihannya untuk mengambarkan dirinya.
Namun saksi menyatakan responsnya itu adalah untuk menghentikan perbualan dengan Ebit Lew.
"Setuju, masa itu saya ingin menghentikan sebelum 'take care'. Niat saya untuk menghentikan supaya dia tidak hubungi dan mesej saya lagi.
"Tetapi dia cakap 'belum' maksudnya dia belum lagi hendak terbang dan masih juga hendak mesej saya," katanya.
Sebelum sesi pemeriksaan balas berakhir, saksi bersetuju dengan andaian Ram bahawa jika dalam sesuatu perhubungan percintaan memerlukan peranan kedua-dua pihak.
Perbicaraan ditangguhkan pada jam 4 petang selepas saksi menyatakan bahawa dia kurang sihat dan mahkamah menetapkan perbicaraan disambung semula pada Rabu.
Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Analia dan Zahida Zakaria manakala Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani. -Sinar Harian