TENOM: Saksi pendakwaan kesembilan dalam kes Ebit Lew menyatakan bahawa ada hikmah dia merakam dan menyimpan video yang dikemukakan sebagai bukti di mahkamah berkaitan pendakwah tersebut.


Ringkasan AI
  • Saksi pendakwaan kes Ebit Lew menyatakan bahawa ada hikmah dia merakam dan menyimpan video yang kini dijadikan bukti di mahkamah. Rakaman tersebut membantu membuktikan suara Ebit Lew.
  • Saksi mengakui bahawa suaminya marah selepas melihat video tersebut, tetapi tetap menggunakan video itu sebagai bukti dalam perbicaraan.
  • Ebit Lew menghadapi 11 pertuduhan berkaitan hantaran gambar dan perkataan lucah melalui WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.


Saksi yang juga pengadu dalam kes ini malah tidak menyesali tindakannya itu kerana video tersebut dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan kes tersebut.

"Saya tidak tahu pada masa itu memang gerak hati saya untuk rakam dan itu adalah pertama kali saya buat rakaman.

"Kalau tanya pada hari ini, bagi saya ada hikmah saya rakam," katanya menerusi pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ram Singh di Mahkamah Majistret Tenom, di sini, pada Selasa.

Diminta menerangkan lebih lanjut keterangannya itu berkaitan ada hikmah, pengadu menjelaskan bahawa rakaman video itulah diberikan kepada pihak polis untuk membuktikan bahawa ia adalah suara milik pendakwah berkenaan.

"Hikmah (maksud), saya dapat bagi dengar polis suara itu memang suara Ebit Lew," katanya.

Ram dalam pemeriksaan balasnya sebelum itu bertanya kepada saksi adakah suami pengadu dapat melihat video yang dirakamnya menggunakan telefon rumah.

"Betul (suami dapat lihat), tapi selepas rakam saya pindahkan ke telefon peribadi dan saya padam di telefon rumah," katanya.

Namun saksi menolak andaian bahawa dia merakam video itu tanpa pengetahuan suaminya kerana rakaman itu dimaklumkan kepada suaminya sebelum laporan polis dibuat.

"Selepas rakam memang dia tidak tengok (video itu), tapi sebelum saya buat laporan saya ada bagi tengok suami," katanya.

Seterusnya saksi memberitahu mahkamah bahawa suaminya tidak gembira melihat video tersebut.

Ram turut bertanya adakah suami saksi tidak kisah selepas mendengar suara saksi yang menggoda dalam video berkenaan.

"Dia memang marah," katanya.

Namun saksi menyatakan walaupun suaminya marah dia tetap menggunakan video itu sebagai bukti di mahkamah dalam perbicaraan tersebut.

Untuk rekod, video tersebut merujuk kepada keterangan saksi dalam pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya dalam perbicaraan Mei lalu yang menerangkan ia adalah mengenai video yang sempat dirakamnya pada hari terakhir sebelum nombor telefon Ebit Lew disekat.

Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin dan Zahida Zakaria manakala Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani. -Sinar Harian