PUTRAJAYA: Batalion Pengaman Malaysia (Malbatt) 850-11 kekal selamat kerana ditempatkan jauh dari zon konflik utama di Lubnan, menurut Kementerian Luar Negeri.

Dalam kenyataan terbaharu pada Isnin (26 Ogos), kementerian itu menjelaskan bahawa pertempuran antara Hezbollah dan tentera Israel baru-baru ini hanya tertumpu di kawasan selatan Lubnan.

MALBATT 850-11, yang terdiri daripada 854 anggota ditempatkan di dua lokasi tetap iaitu di Kem Ma'rakah dan Kem Tibnin.

Kementerian itu, yang turut dikenali sebagai Wisma Putra menegaskan bahawa pihaknya memantau dengan teliti perkembangan di Lubnan.

"Lapangan terbang antarabangsa di Beirut masih beroperasi, walaupun beberapa penerbangan terganggu sebagai langkah berjaga-jaga. Situasi keselamatan di kawasan lain di Lubnan dilaporkan stabil," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra juga menggesa rakyat Malaysia yang berada di Lubnan untuk berhati-hati, mengelakkan perjalanan ke kawasan selatan Lubnan dan mendapatkan maklumat terkini daripada sumber berita yang boleh dipercayai.

Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Kedutaan Malaysia disarankan untuk berbuat demikian melalui pautan https://ekonsular.kln.gov.my/.

Untuk sebarang bantuan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Lubnan, atau hubungi +961 71 380 063 dan +961 7677 2527.

Kedutaan juga boleh dihubungi melalui e-mel di mwbeirut@kln.gov.my.

Kementerian itu juga akan terus menyalurkan maklumat terkini bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia di Lubnan.

-- BERNAMA