KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat berwaspada dengan sebarang kempen mengutip derma bagi tujuan membantu rakyat Palestin yang menerima rawatan di Malaysia ketika ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa orang ramai untuk melaporkan mengenai kutipan derma berkenaan kepada pihak berkuasa jika menerima sebarang pesanan atau melihat kempen berkenaan dijalankan.

"Pihak kerajaan tidak mengutip derma bagi tujuan membiaya atau mengusahakan masakan untuk warga Palestin yang menerima rawatan pada waktu ini," katannya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi dan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan tidak melantik mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengutip dana bagi membantu membiayai kos rawatan rakyat Palestin yang sedang dirawat di dalam negara ketika ini.

Tambah Mohamed Khaled, pihaknya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ada medium atau saluran sendiri yang membolehkan mana-mana pihak untuk menyalurkan sumbangan.

Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa 40 warga Palestin yang cedera dan 80 saudara mereka berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza di Kaherah menuju ke Kuala Lumpur pada Khamis malam.


[LIVE] Sidang Media Mingguan dan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 | 28 Ogos 2024