ANKARA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada Selasa mempertahankan keputusan kerajaan untuk mengeluarkan visa kepada mereka yang melarikan diri dari Gaza, sambil menolak gesaan pihak pembangkang untuk melarang ketibaan dari wilayah itu, lapor Agensi Anadolu.

Ketua pembangkang, Peter Dutton bersama anggota partinya membangkitkan isu ketibaan dari wilayah yang dilanda perang itu dan meminta Perdana Menteri Albanese untuk berkongsi butiran dengan Parlimen, menurut laporan ABC News.

Bagaimanapun, Albanese enggan menjawab soalan pihak pembangkang dan menyatakan beliau mempercayai agensi keselamatan yang sentiasa terlibat dalam proses itu.

"Saya ingin mengingatkan ketua pembangkang bahawa lintasan sempadan Rafah dikawal oleh pihak berkuasa Israel dan Mesir. Marilah kita jelas tentang apa yang sedang berlaku di sini.

"Israel telah menutup lintasan sempadan Rafah pada Mei. Mereka tidak membenarkan orang keluar," katanya.

Pada Ahad, Albanese sekali lagi menolak gesaan pembangkang untuk melarang rakyat Palestin memasuki Australia, dengan menyatakan ia bertujuan untuk "mencetuskan ketakutan."

Terdahulu, Dutton menyeru agar penghijrahan dari Gaza dihentikan, dengan alasan ketibaan mereka dari zon perang ke Australia "menjejaskan keselamatan negara."

Bagaimanapun, Albanese menyatakan bahawa retorik dari pihak pembangkang menyebabkan perpecahan dalam masyarakat ketika pihak berkuasa menyeru untuk perpaduan sosial.

Setakat ini, sebanyak 2,922 visa untuk rakyat Palestin diluluskan, dengan 1,300 orang tiba dengan selamat di Australia, menurut angka dari Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri.

Manakala, data menunjukkan 7,100 permohonan visa dari wilayah Palestin ditolak.

Serangan Israel sejak 7 Oktober mengorbankan hampir 40,100 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 92,600 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA