KUALA LUMPUR: Iran mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis membunuh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di negara itu dan menegaskan haknya yang tidak boleh disangkal untuk bertindak balas sewajarnya terhadap tindakan biadab berkenaan yang mencabuli kedaulatan dan integriti wilayahnya.

Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan yang dikongsi bersama BERNAMA melalui kedutaan negara itu di Kuala Lumpur berkata perbuatan berkenaan bukan sahaja melanggar prinsip dan peraturan undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB, tetapi juga menimbulkan ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.

"Kementerian Luar Iran juga menegaskan tanggungjawab kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap tindakan pengganas yang keji ini kerana Washington merupakan penyokong dan sekutu rejim Zionis dalam meneruskan pendudukan Palestin dan serangan genosid terhadap rakyat Palestin.

"Iran mengharapkan negara lain dan organisasi antarabangsa untuk menekan rejim Israel dengan serius dan berkesan serta mengambil langkah politik, undang-undang dan hukuman yang diperlukan terhadap entiti yang tidak sah ini bagi menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan perjuangan mereka menentang pendudukan," tambah kenyataan itu.

Pada awal pagi Rabu (31 Julai), ketua biro politik Hamas Ismail Haniyeh dan sahabat lama dari Baitulmuqaddis Jeneral Qassem Soleimani, telah diserang dan dibunuh dalam serangan pengganas oleh rejim Zionis ketika beliau berada di Iran sebagai tetamu kerajaan dan rakyat Iran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden negara itu.

-- BERNAMA