TEHRAN: Iran dan Malaysia bekerjasama menerbitkan sebuah buku baharu yang mengupas isu kepincangan dalaman rejim Zionis, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Buku berjudul The End of Zionism and the Fall of Israel diterbitkan dengan kerjasama Atase Kebudayaan Kedutaan Iran di Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Buku terbabit memuatkan koleksi artikel oleh pemikir global yang disusun oleh Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid.

Awal bulan ini, Azmi turut menghadiri majlis memperingati kematian pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah di Tehran.

Dalam majlis itu, beliau menyerahkan dua salinan buku kepada Menteri Kebudayaan dan Bimbingan Islam Iran, Seyyed Abbas Salehi serta Dr Mohammad Mehdi Imanipour, ketua Pertubuhan Kebudayaan dan Hubungan Islam (ICRO).

-- BERNAMA