PEMIMPIN pembangkang Israel, Benny Gantz menyeru warga Lubnan untuk keluar dari cengkaman kekuasaan Iran.

Menerusi hantaran di X, Gantz berkata Lubnan perlu membentuk kerajaan yang stabil serta memperkukuhkan peranan tentera Lubnan sebagai satu-satunya pasukan bersenjata negara itu.

Hantaran ditulis dalam bahasa Arab itu turut menyeru penduduk Lubnan memanfaatkan peluang demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Jelasnya, Israel tidak mempunyai sebarang masalah dengan negara Lubnan malah menyerunya untuk bekerjasama dengan negara-negara berdaulat di rantau itu.

Beliau turut memberi gambaran situasi di Syria dan nasib pasukan pejuang Hamas dan Hezbollah sebagai contoh.

Kata Gantz, penduduk Lubnan perlu jadikan nasib mereka sebagai peringatan terhadap akibat bergantung kepada Iran, yang disifatkannya sebagai lemah dan tidak boleh dipercayai.

Ujarnya, pilihan penduduk Lubnan akan menentukan masa depan anak-anak mereka dari segi kemakmuran ekonomi dan kestabilan atau kejatuhan ekonomi dan keselamatan.

Justeru, Gantz memberi amaran tentang kepentingan membuat keputusan yang bijak untuk negara sendiri.