WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan hasratnya untuk mencapai perjanjian dengan Iran bagi memperbaiki hubungan dua hala.

Bagaimanapun, tegasnya, Tehran tidak seharusnya membangunkan senjata nuklear.

"Saya ingin menyampaikan kepada Iran, yang mendengar dengan teliti. Saya ingin membuat perjanjian yang hebat.

"Satu perjanjian di mana anda boleh meneruskan kehidupan anda," katanya dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House, di sini, hari ini.

Kata Trump lagi, Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan jika terdapat tanda-tanda mereka akan memilikinya, langkah itu akan menjadi sesuatu yang sangat malang bagi negara itu.

Trump turut berkongsi beliau mempunyai ramai kenalan dari Iran dan menyifatkannya sebagai negara indah.

Terdahulu, sebelum mengadakan pertemuan dengan Netanyahu, Presiden AS itu menandatangani memorandum presiden yang mengembalikan dasar tegas terhadap Iran, yang bertujuan untuk menghalang negara itu daripada memperoleh senjata nuklear dan mengehadkan eksport minyaknya.

Memorandum tersebut mengarahkan Setiausaha Perbendaharaan AS mengenakan "tekanan ekonomi maksimum" ke atas Iran termasuk sekatan dan mekanisme penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar sekatan sedia ada.

Menurut anggaran Pentadbiran Maklumat Tenaga AS, eksport minyak Iran menjana AS$53 bilion pada tahun 2023 dan AS$54 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengeluaran pada tahun 2024 berada pada tahap tertinggi sejak 2018, berdasarkan data Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). - Agensi