KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN yang diadakan di Jakarta pada Sabtu memperlihatkan keseriusan persatuan serantau itu untuk menamatkan pergolakan di Myanmar.

Di bawah cabaran dasar tidak campur tangan terhadap hal ehwal domestik, ASEAN akhirnya bangkit mencari ruang di celah-celahnya untuk diselinap dalam usaha menyelesaikan masalah yang semakin memburuk di negara itu.

Bekas Utusan Khas OIC ke Myanmar, Tan Sri Syed Abdul Hamid Albar mengakui ini adalah satu misi yang sukar, kerana baginya negara-negara ASEAN masih belum benar-benar bersatu.

Ia terlihat apabila ada negara anggota yang sekadar menghantar perwakilan, bukannya pemimpin tertinggi untuk menghadiri persidangan tergempar itu.

“Dalam bahasa diplomasi, kalau dia (pemimpin tertinggi) tidak hadir itu adalah satu bantahan secara halus.

“Jadi bermakna ASEAN masih tidak kukuh dan mantap, masih tidak mempunyai kesatuan dalam kalangan negara ASEAN,” jelasnya.

Begitupun, beliau yang juga bekas Menteri Luar itu amat berharap agar sesuatu dapat dibuahkan daripada pertemuan tersebut kerana sudah terlalu ramai ditahan dan terkorban dalam kemelut yang seakan tidak akan mereda jika tiada campur tangan luar.

Baginya, seorang Utusan Khas perlu dilantik untuk memudah cara usaha pendamaian antara Tatmadaw dengan Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar dan ia mestilah seseorang dari negara yang dipercayai oleh kedua-dua belah pihak.

“Saya fikir Indonesia mempunyai hubungan istimewa dengan Myanmar. Myanmar cukup percaya dengan Indonesia dan Indonesia banyak membantu Myanmar dalam menyusun struktur perubahan daripada negara militari kepada negara demokrasi.

“Jadi saya fikir Utusan Khas itu mestilah yang bebas, tidak memihak dan dapat meyakinkan kedua-dua belah pihak, kita patut cari daripada Indonesia.

“Kalau di peringkat pemimpin, saya lihat orang seperti Susilo Bambang Yudhoyono adalah sesuai.”

Apa yang membuatkan keadaan di Myanmar seakan tidak mahu reda adalah keengganan rakyatnya untuk tunduk kepada Tatmadaw, selepas merasai nikmat hidup dalam demokrasi walaupun hanya seketika.

Digerakkan oleh tentangan anak muda hari ini yang celik dengan keterhubungan teknologi maklumat, rakyat sanggup berbuat apa sahaja termasuk berkorban jiwa asal generasi mereka dan yang akan datang tidak akan lagi dicengkam kuku besi tentera.

“Ia adalah senario berbeza, dan itulah realiti hari ini. Ada paradigma baharu yang dia (Tatmadaw) perlu membuat anjakan untuk menerima realiti itu.

“Sekarang mesti dihentikan keganasan ini, mesti ada pasukan kemanusiaan ASEAN, benarkan UNHCR dan badan kemanusiaan antarabangsa masuk, dan Sekretariat ASEAN perlu menjadi pemudah cara,” ujarnya lagi.

Ketika ini tegasnya, perlu diketepikan seketika kepentingan politik nasional negara masing-masing dan ini perlu ditangani sebaiknya atas dasar kemanusiaan.

Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:


Indonesia sesuai jadi Utusan Khas ASEAN ke Myanmar - Syed Hamid Albar